Wednesday, December 5, 2007

‘Setitis’ Islam yang kita kenal


Bismillah hirrahmaan nirahiim.

Ana pernah bertanya pada seorang pakar perubatan yang telah menghabiskan masa sebanyak 5 tahun di universiti untuk mempelajarinya, ditambah sebanyak 3 tahun untuk pengkhususan. Jumlah semua sekali tempoh yang beliau gunakan untuk mempelajari ilmu perubatan ini ialah 8 tahun, tidak termasuk tempoh beliau belajar Biologi dii sekolah menengah. Kini, beliau mempunyai 20 tahun pengalaman bekerja sebagai doktor.

Ana : Berapa lama yang doktor habiskan untuk belajar dalam bidang ni?

Beliau : Lebih kurang 8 tahun.

Ana : Selepas bekerja bertahun-tahun, rasa-rasanya cukup tak 8 tahun tadi untuk

ketahui semuanya tentang ilmu perubatan ni?

Beliau : Hish, 8 tahun saya rasa macam baru belajar asas. Baru saya nampak betapa

luasnya ilmu dalam perubatan ni. Nak teroka semua, tak larat kot.

Ikhwah sekelian, itu baru perubatan, apatah lagi Islam? 8 tahun semata untuk tumpu belajar perubatan pun, rasa macam baru belajar asas. Kita yang hanya peruntukkan 20-30 minit sehari untuk baca buku-buku fikrah, disamping usrah dan program sekali-sekala, jangan impi untuk mengaku kita sudah mengetahui semuanya tentang Islam.

Teringat nasihat seorang ustaz, “ enta kalau kat sekolah belajar sehari dari pukul 7.00 sampai pukul 2.00, tambah lagi dengan prep dan tusyen, dan belajar sampai tengah malam untuk fahami tentang subjek-subjek pelajaran, macam tulah juga enta kena buat untuk pelajari tentang Islam. Tiada jalan mudah untuk fahami agama ni.”

Fiqh aulawiyaat

Abdul Majid Aziz Az-Zindani dalam bukunya, Kitabut Tauhid menceritakan tentang taraf ilmu agama ini berbanding ilmu-ilmu lain yang ada di dunia, ( tetapi dalam bab ini, beliau khususkan pada ilmu Tauhid, iaitu salah satu cabang dalam Islam)

“ …kemuliaan sesuatu ilmu terletak pada kemuliaan topik perbahasan ilmu yang dibincangkannya. Jika ilmu perubatan dikira lebih mulia dari ilmu pertukangan, ini kerana skop perbahasan ilmu pertukangan ialah bekaitan kayu kayan, sedangkan skop perbahasan ilmu perubatan ialah berkaitan tubuh badan manusia.

Kemulian ilmu Tauhid juga bergantung pada kemuliaan bidang perbahasannya. Kenapa tidak? Adakah perkara lebih mulia daripada Pencipta Alam? Adakah terdapat manusia yang lebih suci dari para Rasul? Adakah ilmu yang lebih penting daripada ilmu mengenali Tuhan dan Pencipta manusia?

Begitu juga, adakah ilmu yang lebih penting daripada mengetahui hikmah kewujudan manusia di muka bumi dan tujuan Allah menciptakannya? Kesemua ini adalah skop perbahasan ilmu Tauhid. Ilmu ini adalah asas bagi ilmu Islam dan ia adalah ilmu yang paling mulia dan yang paling penting berbanding berbagai ilmu ilmu lain secara keseluruhannya.

( Mungkin buku ini sangat sesuai bagi mereka-mereka yang masih dalam dilema untuk memilih bidang apa yang hendak diceburi di universiti nanti, sekadar cadangan)

IQRA!!! (Al-Alaq : 1 )

Oleh itu wahai para daei’diluar sana yang telah merasa cukup dengan ilmu Islam yang ada, sedarlah sesungguhnya antumlah yang semestinya lebih rajin dari junior-junior antum untuk mendalami Islam kerana antum lebih tahu betapa ceteknya ilmu antum tentang agama Allah ini. Benarlah kata-kata orang dulu, “ orang yang paling sedih ialah orang yang paling banyak ilmunya.” Wallahualam.

No comments: