Saturday, December 29, 2007

Manusia dan 2 Ilham



Ada berbagai-bagai jenis manusia di dalam dunia ini. Ada yang penyayang, ada yang garang. Ada yang lembut, ada yang keras. Ada yang lurus, ada juga yang suka memutar-mutar. Ada muslim, dan ada musyrik. Ada polis, ada pencuri dan lain-lain. Secara amnya, manusia boleh dikelaskan kepada 2 kelompok : baik atau jahat.

Realitinya sekarang pun boleh dilihat di depan mata kita sendiri. Contohnya jika ditanya remaja sekarang suka berada di tempat-tempat yang bagaimana? Hanya ada 2 jawapan. Jika tidak di pawagam, mereka di surau. Jika tidak di Stadium Melawati, mereka berada di masjid, mendengar ceramah. Jika tidak bermalam bersama arak dan hiburan, mereka bermalam atas tikar sejadah sambil menangis teresak-esak atau sedang menghadiri katibah dengan penuh disiplin. Senang cerita jika tidak di sarang-sarang syaitan, mereka berada di tempat-tempat yang subur dengan Islam.

2 keadaan tersebut merupakan fitrah manusia itu sendiri, dimana Allah telah menciptakan mereka dengan 2 jalan. Firman Allah s.w.t :

“ Bukankah kami telah tunjukkan kepadanya jalan kebaikan dan jalan kejahatan? “ ( Al-Balad: 10)

FirmanNya lagi :

“ Kemudian Kami ilhamkan kepadamu jalan kejahatan dan jalan taqwa” ( Asy-Syams: 8)

Ustaz Syamsu Hilal dalam bukunya, Sirriyah dan Amniyyah dalam dakwah menyebut: “ …setiap manusia mempunyai 2 potensi dalam diri : potensi taqwa dan potensi fujur (jahat). Mereka berdua umpama 2 biji benih dalam badan manusia. Jika benih taqwa disiram dan dibajai, nescaya benih itu akan tumbuh mekar di dada manusia itu dan benih fujur mati kekontangan. Maka jadilah manusia itu orang yang bertaqwa.

Tetapi jika benih fujur yang disiram dan dibajai, maka benih fujur tadi akan hidup subur dan benih taqwa akan mati kekontangan. Maka jadilah manusia itu seorang yang jahat….”

Kesimpulannya jika dia selalu menghabiskan masanya dengan maksiat seperti melepak bersama kawannya hingga larut malam, gemar menghantar mesej dengan kaum bukan sejenis, bergaul rapat dengan remaja-remaja yang rosak, maka tidak lama kemudian dia pasti akan menjadi sebahagian dari mereka.

Malah jika seseorang itu dibiasakan dengan aktiviti-aktiviti yang islamik, bergaul rapat dengan orang yang baik-baik dan soleh, selalu mengahadiri dauroh, usrah, katibah dan sebagainya, maka orang tadi akan membesar dengan sempurna dan akan menjadi manusia yang berpotensi untuk Islam.

Tetapi ingat, syarat yang pertama adalah manusia tadi sendiri yang memilih jalan kebaikan. Dalam sesetengah kes, setelah dibuat berbagai-bagai program tarbawi seperti dauroh, usrah, katibah dan sebagainya, tetapi masih mencarut dan mahu memberontak, bermakna dia telah memilih jalan kejahatan. Apalah gunanya menyiram benih kebaikan, sedangkan benih kejahatan yang dipilih?

Oleh itu, para ikhwah haruslah tumpu pada ke’nak’kan mad’u-mad’u dahulu barulah disusuli dengan program-program tarbawi.

Sekadar berkongsi, Wallahualam.

1 comment:

Anonymous said...

sungguh hebat bahan bacaan diatas........ayat yg tepat,penuh mantik,mudah dibaca dan difahami,sangat padat,membacanya sahaja sudah kita dapat bayangkan betapa teliti dan berhati hatinya penulisdidalam melahirkan dan memberi ilmu kpd pembaca....syabas dan tahniah,ana harap bahan bacaan ini ditambah selau sejajar dengan perkembangan masa yang mana para pengguna jalur lebar sekarang sangat dahagakan bahan bacaan yang sangat berguna dan mengetahui kemanisan yang ada didalam islam....semoga anta sentiasa didalam lindungan allah dan diberikan ilham yang sentiasa bertambah dari masa ke semasa from faiz el-azhar camp :-)