Terjemahan ucapan Dr. Muhammad Badie' dalam Muktamar Belia Ikhwan Pertama Selepas Revolusi"Generasi dibina, Ummah dibangun"
24 September 2011, 26 Syawal 1432
24 September 2011, 26 Syawal 1432
Segala puji bagi Allah, dan salawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w, imam dan panglima bagi umat Islam, seterusnya para sahabat r.a
Pemuda yang aku cintai sekelian,
Ketahuilah bahawasanya kamulah benteng dan harapan ummat ini, dan padamu ada akal yang cerdas, padamu terdapat masa depan yang cerah, padamu terkumpul kekuatan yang tersimpan, dan kamulah kunci kebangkitan ummat ini. Ini adalah kemampuan dan takdir kamu, dan inilah tanggungjawab dan amanah kamu di depan Allah, juga amanah kamu kepada ummat dan diri kamu sendiri. Kamulah aset masa depan, di bahumu terpikul seluruh harapan ummah ini.
Dan apabila kami bercakap tentang perkara ini, kami tidak bermaksud untuk berlebihan dalam memuji, tetapi menyebut tentang realiti, bahkan mengiktiraf kebenaran yang ada, kami juga beramal dengan nasihat Rasulullah s.a.w: “aku berwasiat kepada kamu agar berbuat baik dengan pemuda..”. Oleh itu, terdapat beberapa kewajipan yang kamu perlu tunaikan.
Pertama : Kewajipan terhadap diri
Ketahuilah bahasanya kamu sedang berada di puncak hidupmu, dan berada di tahap kekuatan yang tertinggi, maka wajib keatas kamu untuk menyalurkan kekuatan itu dan menunaikan haknya. Apa yang saya maksudkan dengan kekuatan adalah semua anasir kekuatan termasuk harta, jiwa, jasad dan sebagainya. Kamu sekarang sedang berada dalam fasa kekuatan yang berada di antara 2 fasa kelemahan.
“ Dialah Allah yang menjadikan kamu dari fasa yang lemah, kemudian menjadikan selepas fasa lemah itu, fasa kekuatan..” ( Ar-Rum, 54 )
Dan kamu akan ditanya di akhirat kelak tentang fasa kekuatan ini bertepatan dengan hadith Nabi s.a.w : ” tidak berganjak kaki seseorang itu di akhirat kelak kecuali setelah ditanya tentang 4 perkara..”, dan Rasulullah s.a.w telah mengkhususkan fasa pemuda daripada umur seseorang itu untuk menunjukkan kepentingannya: “..dan ditanya tentang umurnya, ke mana ia habiskan, dan ditanya tentang umur pemudanya, ke mana ia gunakan…”.
Hadith tadi seolah-olah memberi gambaran kepada kita tentang perumpamaan usia muda ini tidak lain seperti pakaian yang dipakai, yang kemudiannya menjadi lusuh. Maka kamu mestilah gunakan ia semaksimum mungkin, kerana ia adalah anugerah yang besar, yang disifatkan oleh Rasul s.a.w sebagai 2 anugerah yang sering dilupai manusia, yakni kesihatan dan waktu lapang.
Tingkatkanlah iman, ruh, ta’abbud, ilmu pengetahuan, kesihatan badan kamu dan segenap aspek lain agar kamu menjadi bermanfaat untuk agamamu, negaramu dan ummatmu. Dan berkadaran dengan besarnya tanggungjawab yang kamu pikul, persiapkanlah dirimu untuk bersungguh dan berkorban. Dan tidak disebut objektif, melainkan disebut juga kesungguhan dan pengorbanan yang mengikutinya, serta pahala yang besar di sisi Allah, insyallah.
Dan perbaikilah hubungan kamu dengan Allah pada sembunyi dan terang-terangan, dan janganlah buat perkara yang Allah murka, yang ia akan mengangkat pertolonganNya darimu, kerana Dialah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan.
Pemuda yang ku cintai sekelian,
Jangan sekali-kali memperkecilkan dirimu, usahamu dan kemampuanmu, kerana ia bukanlah dari sifat wara’ yang dimaksudkan. Dan ketahuilah, kewujudan sungai dengan air bah yang gagah itu dari titisan-titisan hujan yang kecil, jika ia berkumpul di suatu tempat yang sama. Hati-hatilah kamu dari sifat sombong dan takabbur, kerana sekecil zarah darinya akan menghalangmu untuk masuk ke syurga. Tanamlah sikap percaya pada dirimu, usahamu dan kemampuanmu, dan belajarlah dari orang sebelummu, kerana hikmah itu perkara yang hilang dari mukmin, di mana sahaja dia menjumpanya, maka dialah paling berhak untuk mendapatkannya.
Jelmakan dalam dirimu 10 sifat-sifat peribadi muslim yang disusun oleh Imam Hasan Al-Banna, dan jadikan ia manhaj untuk beramal semampu yang boleh. Dan melalui 10 sifat-sifat itu, ia akan membina suatu peribadi lengkap yang mampu memikul kepenatan jalan, dan dengan merekalah terbinanya ummah dan terzahirnya keamanan.
Usahakanlah olehmu untuk menjadi qudwah hasanah kepada rakan di sekelilingmu, samada kaum kerabat, mahupun orang asing, muslimin mahupun bukan muslim. Begitu juga saya menasihati kamu agar bersikap ihsan di setiap aspek kehidupan, menjadi cemerlang dalam pelajaran, akhlak, serta peribadi, berbuat baik kepada ibubapa, berdakwah kepada orang lain dan berkhidmat untuk mereka, taat kepada Allah dan cinta kepada keluarga, kaum kerabat, masyarakat dan negara.
Usahakanlah olehmu untuk menjadi kreatif dan mencipta suatu inovasi yang baru, serta mengasah potensi yang terpendam dalam dirimu untuk disumbangkan kepada masyarakat serta seluruh dunia. Dan jadilah kamu orang yang pakar dalam apa jua bidang yang kamu ceburi. Ini semua tidak akan terhasil tanpa ilmu, amal, sabar dan ketekunan.
Hati-hatilah kamu akan penyakit hati dan hawanya, dan ketahuilah bawasanya sesiapa yang mampu mengawal dirinya, maka dia lebih mampu untuk mengawal orang lain. Dan dekatkanlah dirimu dengan Allah, taati perintahNya, perbaikilah urusanmu serta tingkatkan usahamu, dan gabungkan semua perkara ini, nescaya Allah akan meredhaimu, ummah akan maju dan tujuan kamu akan tercapai.
Bersahabatlah kamu dengan kawan yang baik, yang akan membantumu dalam ketaatan kepada Allah dan yang akan menolakmu maju dalam keimanan, pembelajaran, dan pekerjaan. Ketahuilah kawan yang baik itu adalah mereka yang menolongmu mengingati Allah dan yang akan menegurmu jika kamu melupaiNya.
Pemuda yang ku cintai sekelian,
Janganlah kamu merendahkan keyakinan dirimu kerana tidak banyak pemuda yang berpeluang merubah haluan sejarah. Lihatlah sejarah dahulu dan terkini, kamu akan dapati peluang ini jarang muncul. Maka jadilah golongan yang beruntung ini yang menulis sejarah mereka dengan tinta emas.
Maka ketahuilah peranan kamu sangatlah besar, terutama sekali setelah berlakunya revolusi arab yang agung ini, yang mana tenaga pemudalah yang menjadi kunci kejayaannya. Dan ketahuilah sesungguhnya revolusi-revolusi ini tidak akan berhenti selagi mana ia tidak mencapai tujuannya secara sempurna, dan menjadi tanggungjawab kita untuk meningkatkan lagi usaha dan sumbangan kita, sehingga hasilnya menjadi ranum dan tujuannya menjadi sempurna yakni kebangkitan ummah.
Kedua: Kewajipan terhadap kedua ibubapa
Pada mereka berdualah letaknya jalan kamu ke syurga, maka berbuat baiklah kepada mereka, taatilah mereka, tunaikanlah segala permintaan mereka, dan turutilah arahan mereka. Dan janganlah sekali-kali kamu membuat mereka marah dan mengingkari mereka dalam perkara kebaikan.
“ Dan Allah telah perintahkan kamu untuk tidak menyembah melainkan Dia, dan berbuat baik terhadap kedua ibubapa mu..” ( Al-Isra’ : 23 )
Sebahagian ulamak telah menafsirkan ayat Allah s.w.t : “ Dan janganlah kamu berkata ‘Ah’ kepada mereka, dan janganlah kamu memarahi mereka, dan katakanlah kepada mereka dengan kata-kata yang mulia” dengan tafsiran bahawasanya kelembutan kepada mereka bererti kasih sayang serta memenuhi kehendak mereka, dan apa yang mereka pinta, terutama sekali ketika umur tua mereka.
Sepertimana hadith Rasulullah s.a.w yang berbunyi: “ Redha Allah terletak pada redha ibubapa, dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa”, begitu juga dengan sabda nabi s.a.w: “ Rugilah mereka, rugilah mereka, rugilah mereka. Sahabat bertanya: siapa mereka wahai Rasulullah? Mereka yang sempat bersama ibubapa mereka ketika umur tuanya, salah satu dari mereka atau keduanya sekali, tetapi tidak masuk ke syurga”.
Ketahuilah bahawasanya nenek moyang kamu adalah akar pokok, dan ibubapa kamu adalah dahan dan rantingnya, dan kamu adalah dedaun, bunga, dan buahnya. Tanpa mereka, siapalah kamu.
Ketiga: kewajipan terhadap masyarakat
Sesungguhnya masyarakat sangat memerlukan bantuan dan sokongan untuk bangkit semula, terutama sekali setelah selesai menentang rompakan, kezaliman dan kerosakan yang dilakukan oleh beberapa pemimpin, dan revolusi yang berlaku. Maka marilah kita bekerjasama dengan semua persatuan, pertubuhan dan organisasi untuk membina semula negara kearah lebih maju. Dan ruang kerjasama antara kita semua sangatlah luas. Oleh itu, marilah kita saling bantu membantu dalam perkara untuk memajukan negeri ini, dan saling maaf memaafi dalam perkara yang kita perselisihkan.
Maka satukanlah tujuan kamu dengan jelas dan teliti, supaya usaha kamu tidak terpecah-pecah dan tidak bercampur antara matlamat dan cara. Belajarlah Fiqh aulawiyat dan teknik berperingkat dalam langkah-langkah. Dan dalam keserabutan urusanmu, matlamat yang jelas akan memandu kamu dan memudahkan kamu di kala kesusahan, dan mempercepatkan kepada matlamat. Dan sesungguhnya perbuatan kamu akan lebih dilihat berbanding percakapanmu kerana perbuatan seorang dapat mengesani seribu orang, sedangkan percakapan seorang tidak semestinya dapat mengesani seseorang.
Belajarlah untuk menyusun jadual hidupmu kerana ia akan membantumu untuk memanfaatkan masa lapang. Dan hati-hatilah dengan masa lapang yang ada kerana ia bakal melahirkan banyak musuh. Masa lapanglah yang banyak membawa pemuda kepada kerosakan moral. Ikhlaskanlah niatmu, salurkanlah kemampuanmu, dan maksimumkan penggunaan masa kerana ianya adalah rahsia kejayaan, insyallah.
Sertailah kelab-kelab sukan pemuda samada anjuran kerajaan ataupun masyarakat, rukun tetangga dan persatuan kebajikan. Gabungkanlah diri anda dengannya dan kembangkanlah ia, susunlah kelas-kelas ilmu yang bermanfaat, sertailah projek-projek komuniti yang pelbagai sehingga masyarakat merasai peranan kamu dan mengetahui apa yang kamu ingin sampaikan.
Hendaklah kamu mengambil berat dengan masyarakat di sekeliling kamu dan mengambil berat tentang urusan-urusan mereka serta memberi respon yang baik dalam masalah-masalah yang mereka hadapi. Fikirkanlah jalan untuk menyelesaikan permasalahan mereka dan berlumbalah untuk membuat kebajikan. Tawarkanlah pertolonganmu kepada mereka yang memerlukan dan kepada mereka yang ditimpa kesusahan. “ Sesungguhnya Allah mempunyai segolongon hambaNya yang mengkhususkan diri mereka untuk mengangkat kesusahan manusia, mereka mencintai kebaikan dan kebaikan juga mencintai mereka, dan merekalah golongan yang bergembira, di hari manusia lain bersedih ( Hari Akhirat ) “
Keempat: Kewajipan terhadap ummah
Ambillah berat tentang ummatmu dan permasalahan mereka dan ringankanlah tulangmu untuk menolong mereka, serta jangan beruzlah dari mereka. Barangsiapa yang tidak mengambil peduli urusan ummat Islam, maka dia bukanlah sebahagian dari mereka. Dan pengasingan diri dari permasalahan ummat adalah permulaan bagi pengangguran kerja dan perpecahan, lalu ia tidak membawa kepada penyelesaian, disebabkan hilangnya rasa penggabungan kamu dengan muslimin yang lain.
Isu ini telah diulas dalam sebuah syair:
“ Kamu telah ditaklifkan dengan satu bebanan, jika kamu sedari. Dan hati-hatilah kamu, janganlah kamu pikul beban ini dalam keadaan lalai”
“ Kamu telah ditaklifkan dengan satu bebanan, jika kamu sedari. Dan hati-hatilah kamu, janganlah kamu pikul beban ini dalam keadaan lalai”
Pemuda yang ku cintai,
Imam Hasan Al-Banna telah meletakkan rukun-rukun kemenangan dalam risalah beliau ‘Kepada Pemuda’ dengan berkata: “Sesungguhnya sesuatu fikrah itu akan menang jika kuat keyakinan terhadapnya, adanya keikhlasan dalam menjalankannya, bertambah-tambah semangat untuknya, dan wujudnya persediaan untuk memikulnya malalui pengorbanan dan kerja yang bersungguh untuk menjayakannya”, dan saya dapati, rukun itu semuanya ada 4: iman, ikhlas, semangat dan amal. Dan ianya meliputi sisi ruhi aqidi ( iman dan ikhlas ) dan sisi amali tatbiqi ( semangat dan amal ). Dan ini adalah adunan yang sangat sempurna, semangat pemuda yang dipandu sisi aqidi dan yang seumpama dengannya.
Sepertimana kata-kata Al-Imam pada tajuk yang lain: ”Kamu akan dapati pada setiap akh yang jujur di medan amal, ia akan menjumpai tempatnya untuk beramal yang sesuai untuk dirinya, jikalau mereka benar-benar jujur”. Tapi, jika pemuda yang bersemangat yang tidak dikawal, maka ia akan sampai ke tahap terburu-buru sepertimana yang Imam Al-Banna nasihati: “Kawallah denyutan semangat dengan pandangan rasional, dan pandulah pandangan akal dengan cahaya hati “,dan saya dapati Al-Imam di sini menahan ragam ini lalu membimbing ke jalan yang benar, yakni jalan iman, ikhlas dan benar.
Maka beriltizamlah dengan keempat-empat rukun ini dan cernakanlah ia dalam dirimu serta ajaklah kawan-kawanmu ke arahnya, dan tukarkanlah ia dari teori kepada amali.
Pemuda yang ku cintai sekelian,
Sepertimana yang Iman Al-Banna sebut dalam risalahnya kepada kamu tentang 4 ciri tetap jemaah yang terpenting yakni: Rabbaniah, Berperingkat, Tarbiyyah dan Syumul, maka jadikanlah ia tetap juga di pandanganmu dan berpeganglah dengan ia. Dan ketahuilah betapa pentingnya ia dan dengannya insyallah ia akan menjamin ke jalan yang selamat, tujuan yang tercapai, dan mendapat natijah yang terbaik.
Tentang Rabbaniah, Al-Banna telah berkata: ”dan kita kearah tujuan yang Allah s.w.t tetapkan untuk kita, bukan tujuan yang kita tetapkan untuk diri kita sendiri, dan kita akan sampai dengan pertolonganNya, dan Allah tetap akan menyempurnakan cahayaNya walaupun dibenci oleh orang kafir”
Tentang Berperingkat dan Tarbiyyah: “Kita akan mendidik diri kita menjadi peribadi muslim, kemudian mendidik keluarga kita menjadi keluarga muslim, kemudian mendidik masyarakat kita menjadi masyarakat muslim, dan kita akan terus tetap dalam cara ini, sehinggalah tamat proses pengislahan ini.”
Tentang Syumul pula: “mereka beriman bahawa Islam yang mereka anuti adalah aqidah dan ibadah, negara dan kewarganegaraan, akhlak dan kebendaan, ilmu pengetahuan dan perundangan, budi pekerti dan kekuatan, dan mereka meyakini bahawa Islam adalah cara hidup yang meliputi seluruh aspek kehidupan, dan mereka menyusun urusan dunia mereka sepertimana mereka menyusun urusan akhirat mereka, dan mereka meyakini juga Islam meliputi sisi ruhi dan jasadi.”
Akhir Kata
Kamulah adalah harapan, dan kami tahu pada kamu terdapat kebaikan yang banyak. Maka rasailah wahai pemuda, akan apa yang dirasai oleh ummahmu yang sedang bersedih dan dalam keadaan yang tidak diredhai oleh setiap muslim, dan rasalah bahawa di tangan kamulah nasib ummat ini dan dengan usaha kamulah kemenangan akan tercapai, jika terdapat pada kamu, kaum kerabat dan keadaan kamu anasir kemenangan: “wahai orang-orang beriman, jika kamu menolong Allah, maka Allah akan menolongmu dan meneguhkan kaki-kaki kamu.”
Berpeganglah kamu dengan iman kepada Allah dan ikutilah sunnah Rasul s.a.w, amal yang berterusan, tajarrud yang sempurna, kesungguhan yang berpanjangan, pengorbanan yang agung, benar dengan Allah, dengan diri dan dengan manusia, dan bersungguhlah dalam beramal, kerana jika kamu tidak menyibukkan diri dengan perkara baik, perkara buruk akan menyibukkan kamu. Dan jika kau melaksanakan perkara-perkara ini, maka kemenangan akan terapai sepertimana orang sebelum ini mencapainya. Allah berfirman: “Maka Allah akan menolong mereka yang menolong Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuat dan Maha Agung.”
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad s.a.w
Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
No comments:
Post a Comment