Wednesday, February 25, 2009

Konspirator terhadap Islam: musuh dalam selimut (1)

ABDULLAH B. UBAYY
gambar hiasan



Safar merupakan bulan di mana Rasulullah dan para sahabat keluar berhijrah, bukan pada bulan Muharram. Malah peristiwa di mana Ali r.a menggantikan tempat tidur baginda lalu baginda menabur debu pada muka orang Quraish tersebut berlaku pada 27 Safar.

Umar r.a, iaitu orang yang mencipta kalendar hijri, sengaja mengambil bulan Muharram sebagai permulaannya kerana beberapa sebab. Diantaranya adalah kerana pada bulan Muharramlah bermulanya perancangan hijrah. Inilah mesej yang ingin beliau sampaikan kepada semua umat Islam, iaitu kepentingan merancang dengan teliti dalam setiap tindakan kita.

Sempena genapnya ulangtahun ke-1430 peristiwa hijrah yang sarat dengan pedoman itu berlaku, saya ingin membawa biodata seorang musuh Allah yang mana baginda ketemu sebaik saja baginda menjejak kaki ke Yathrib. Malah si munafik ini adalah pimpinan tertinggi di Yathrib (umpama perdana menteri sekarang) sebelum kedatangan Rasulullah, seperti yang akan dikisahkan nanti.

Tidak lain tidak bukan, dialah Abdullah b. Ubayy.

Latar belakang

Namanya adalah Abdullah bin Ubay bin Salul, penduduk Madinah dari suku Khazraj. Setelah peperangan Bu’ath berakhir ( perang antara Aws dan Khazraj), mereka bersatu dan berpakat untuk melantiknya sebagai ketua di kalangan mereka, padahal sebelum ini mereka tidak pernah berbuat begitu. Lalu mereka pun mengumpul batu-batu berharga untuk membuat mahkota untuk Abdullah b. Ubay. Saat mereka hampir-hampir mengisytiharkannya sebagai raja, si munafik ini dikejutkan dengan berita kedatangan Rasulullah s.a.w dan penduduk Madinah yang belot terhadapnya.

Lalu Abdullah b. Ubay menganggap baginda telah merampas takhtanya dan menyimpan dendam kesumat terhadap Rasulullah. Tetapi si munafik ini tidak berani menentang secara terang-terangan kerana baginda mendapat sokongan padu penduduk Madinah. Lalu dia ( Abdullah ) sentiasa mengintai peluang untuk mensabotaj baginda.

Si munafik ini meninggal pada tahun 9 hijrah iaitu selepas Peperangan Tabuk berlaku.

Senarai komplot Abdullah b. Ubay

1. Setelah beberapa ketika Rasulullah sampai di Madinah, pihak Quraish mengutus surat kepadanya yang memberi ancaman keras supaya Rasulullah mesti dihapuskan. Tetapi ketika Abdullah ingin melaksanakannya bersama konco-konconya, berita ini sempat diketahui Rasulullah lalu baginda menggagalkannya. ( Lihatlah betapa masyhurnya Abdullah, sehingga ke’ketua’annya di Madinah masih diiktiraf olah pihak Quraish, iaitu kepala kabilah Arab)

2. Perang Bani Qaynuqa’: Setelah perang Badar berakhir, kehebatan Islam mula digeruni. Ketika inilah si munafik ini menyatakan syahadahnya dengan pura-pura ( ini juga bermakna dia dengan pahitnya telah mangiktiraf Nabi Muhammad sebagai katua Madinah). Ketika Rasulullah ingin mengusir Yahudi Bani Qaynuqa dari Madinah kerana melanggar perjanjian, dia ( Abdullah) masuk campur dengan memujuk baginda supaya meringankan hukuman. Tindakan ini sangat tidak disukai baginda, sehingga muka baginda merah padam kerana menahan marah.

3. Penarikan tentera di Uhud : seperti yang dimaklumi, Abdullah adalah seorang yang sangat bijak dan berpengaruh. Dalam peristiwa di Uhud ini, dia berjaya menghasut tentera seramai 300 orang untuk berpaling tadah. Boleh sahaja Abdullah hasut sebelum tentera Muslimin keluar dari Madinah, tapi tujuan dia menghasut ketika tentera Muslimin telah hampir dengan medan tempur adalah supaya moral tentera Muslimin jatuh. Tindakan ini benar-benar menyebabkan para sahabat tidak tentu arah malah hampir-hampir putus asa. Tetapi setelah di tenangkan oleh Rasulullah, keadaan kembali tenang.

4. Perang Bani Nadhir : Setelah tamat perang Uhud yang mendukacitakan umat Islam itu, terjadi lagi tragedi yang menyedihkan iaitu seramai 75 orang sahat yang dipilih dari yang terbaik telah dikhianati di ar-Raji dan di Bir Ma’unnah ( dua peristiwa ini yang membuatkan baginda membaca qunut nazilah). Ketika kelihatan Islam semakin lemah, Yahudi Bani Nadhir pun melanggar perjanjian lalu Rasulullah mengusir mereka dari Madinah. Ketika mereka sedang berkemas untuk keluar, datang Abdullah menyeru supaya mereka melawan dan dia (Abdullah) juga menjanjikan pertolongan dengan kata-katanya : “ Kalau kamu diusir, kami akan keluar bersamamu. Kalau kamu berperang, kami akan berperang bersamamu”.
Mendengar tawaran itu, semangat mereka pun naik dan mereka pun mengangkat senjata mereka lalu berkubu di kampung mereka. Setelah dikepung tentera muslimin, dan pertolongan Abdullah pun tidak kunjung tiba, akhirnya mereka semua menyerah diri.

5. Perang Ahzab : Dia (Abdullah) membuat kacau serta menanam rasa gerun dalam jiwa mukminin. Inilah peristiwa yang direkodkan Allah dalam surah Al-Ahzab, ayat 12-20.

6. Selepas perang Ahzab, Rasulullah mengahwini Zaynab bt. Jahsy iaitu bekas isteri Zaid b. Harithah. Zaid merupakan anak angkat Rasulullah di mana dalam tradisi arab, anak angkat dianggap anak sendiri, dan mengahwini bekas menantu merupakan dosa besar. Justeru itu, Rasulullah diarah oleh Allah untuk memecahkan tradisi jahiliyyah itu. Apabila perkahwinan yang diwalikan oleh Allah ini berlaku, pihak munafik mempunyai 2 hujjah untuk menyerang peribadi baginda.

a) Rasulullah telah mengahwini bekas isteri anaknya, seperti yang diterangkan di atas.

b) Zainab merupakan isteri baginda kelima, sedangkan Islam hanya menghadkan 4 orang isteri sahaja. Jadi, bagaimana perkahwinan ini sah?

Tentang kes ini, Allah menurunkan surah Ahzab, ayat 1 untuk menetapkan hati baginda dan orang mukmin.

7. Peperangan Bani Mustalik : Dalam perang ini, Abdullah mewujudkan 2 kekecohan besar. Salah satunya hampir-hampir menggugat rumah tangga Rasulullah sendiri.

a) Abdullah berkata: “Kalau kita pulang ke Madinah nanti, orang-orang mulia dikalangan kita akan mengusir keluar orang-orang yang hina”

Dia (Abdullah) berkata begitu kerana parasaan terlalu bencinya kepada Rasulullah setelah terdengar suara baginda mendamaikan antara muhajirin dan ansar. Dia (Abdullah) lalu membangkitkan isu betapa bodohnya kaum ansar menerima kaum muhajirin yang menumpang dalam negeri mereka, lalu keluarlah kata-katanya yang hina itu.

Setelah sampai beritu itu ke telinga Rasulullah, Umar yang berada di sisi baginda mahu memancung Abdullah, tetapi ditenangkan oleh baginda. Abdullah yang mengetahui tembelangnya telah pecah, segera menemui baginda untuk menafikan perbuatannya.

Anak Abdullah bin Ubayy, Abdullah bin Abdullah bin Ubayy merupakan sahabat yang soleh dari kalangan lelaki terbaik. Setelah mengetahui berita ini, beliau kemudiannya menunggu ayahnya di pintu gerbang Madinah. Ketika ayahnya sampai, beliau menghalang ayahnya masuk sambil menghunus padang lalu berkata: “ Engkau tidak boleh melepasi kawasan ini kecuali setelah Muhammad membenarkannya. Sesungguhnya engkaulah yang hina dan Muhammadlah yang mulia” . Apabila baginda sampai, baginda pun membenarkannya.

b) Hadith Al-Ifki : Berita fitnah yang melibatkan Aishah dan Sofwan b. Muattil dikepalai sendiri oleh Abdullah b. Ubayy. Berita ini sangat menyedihkan baginda, malah baginda telah meminta pendapat sahabatnya samada untuk menceraikan atau mengekalkan Aisyah. Aisyah juga tidak kurang sedihnya sehingga beliau menangis selama 2 malam dan tidak dapat tidur kerana menangis. Setelah itu, Allah menurunkan ayat Quran yang menyucikan beliau.

Begitulah beberapa peristiwa besar yang direkodkan oleh sirah tentang perilakunya yang sungguh hodoh dan keji.

Bapak borek, anak tidak rintik

Anak Abdullah b. Ubayy, iaitu Abdullah b. Abdullah merupakan antara sahabat yang sangat disayangi baginda. Beliau (anak Abdullah) berlepas diri dari apa yang dilakukan oleh ayahnya. Pernah sekali beliau berkata kepada baginda : “ wahai Rasulullah, kalau engkau mahu membunuhnya, maka suruhlah aku yang membunuhnya. Demi Allah, aku akan membawa kepalanya kepadamu. “

Ketika Abdullah b. Ubayy meninggal dunia, baginda mendoakan kesejahteraanya serta solat jenazah untuknya semata-mata mahu menghiburkan hati anaknya. Tetapi kemudiannya Allah melarang perbuatan baginda itu. Ini menunjukkan betapa sayangnya baginda pada anak Abdullah.

*dipetik dan diolah dari kitab Raheeq Al-Makhtum