Pilihanraya Mesir 2012 sememangnya unik buat saya. Walaupun saya bukanlah pemerhati tegar pilihanraya-pilihanraya sedunia, mahupun pengkaji yang bermain dengan peratus undi, graf, carta pai, dan sebagainya, namun sebagai seorang warganegara Malaysia yang pernah mengikuti 2 kali PRU pada 2008 dan 2004 secara dekat, memang Pilihanraya Mesir kali ini memberikan pengalaman baru yang cukup bermakna.
3 pengalaman yang saya maksudkan adalah:
1. Ulama'-ulama' di Mesir, apabila tiba pilihanraya, mereka akan mendidik dan menerangkan kepada masyarakat tentang prinsip-prinsip pemerintahan dalam Islam dari Quran dan Sunnah secara neutral, bukan menyeru masyarakat untuk memilih parti tertentu dan mengundi calon tertentu. Prinsip-prinsip ini sangat penting bagi masyarakat untuk dijadikan neraca membuat sesuatu keputusan dicelah-celah dunia yang dikuasai oleh proksi Barat dari segenap aspek. Mudah kata, ulama' hanya memberikan alat, dan terpulang kepada masyarakat untuk menggunakannya.
Contoh prinsip-prinsip tersebut adalah:
i- Al-Aslu dalam Islam adalah tidak meminta jawatan. Ini adalah satu pukulan yang sangat menyedarkan tatkala sistem demokrasi ala Barat melalui pilihanraya menyebabkan pemimpin berlumba-lumba mencalonkan diri sendiri. Antara Hadith yang terkenal bila bercakap tentang topik ini adalah apabila Abdul Rahman b. Samurrah meminta jawatan lalu Rasulullah menjawab : " Wahai Abdul Rahman, jangan meminta jawatan. Jika engkau memintanya, engkau akan diberatkan dengannya. Jika engkau diberi tanpa meminta, engkau akan dibantu dalam urusan tersebut.." ( Muttafaq Alaih )
Saya sempat melihat poster Muhammad Morsi, calon Ikhwan Muslimin. Antara ayat yang dipromosikan pemplet tersebut adalah "..beliau tidak pernah meminta jawatan.." kerana yang memutuskan supaya beliau bertanding adalah majlis Syura dan bukan diri sendiri seperti calon yang lain.
ii- Pemimpin ummat Islam adalah wakil Rasulullah s.a.w dalam mengurus urusan ummat Islam. Jadi kualiti pemimpin tersebut tidaklah semestinya sama 100% dengan baginda, tapi kalau boleh yang paling dekat. Jadi, ciri-ciri asasi seperti tahap ilmu agama, merujuk Al-Quran dan Sunnah dalam setiap masalah, kesihatan badan, itu semua tidak perlu dipertikaikan lagi kerana ia adalah mandatori.
Antara ciri yang ditekankan juga adalah mempunyai pengaruh yang kuat. Pemimpin diibaratkan sebagai seorang ayah yang apabila ada anak-anaknya yang bergaduh, dengan mudah ia dapat meleraikannya. Tanpa pengaruh yang kuat, beliau tidak dapat memimpin dengan berkesan.
iii- Masyarakat perlu sedar bahawa undi mereka akan dihisab di depan Allah dan isu pemerintahan ini bukan satu isu yang boleh dibuat main. Jika mereka memilih calon yang merugikan Islam, mereka akan disoal kelak dan begitu juga sebaliknya. Dan jika mereka telah memilih seorang pemimpin, wajib bagi mereka mentaatinya selagi tidak bercanggah dengan nas.
Khutbah-khutbah dan ceramah-ceramah sebegini jarang sekali saya dapat dengari di Malaysia. Hatta ulama' di kalangan Ikhwan Muslimin juga jarang saya dengar mereka memuji-muji calon mereka di ucapan awam, kecuali memberi kaedah-kaedah yang asas ini. Teori saya, apabila sasebuah parti itu menetapkan matlamat untuk menang, maka ucapan mereka akan menjurus ke arah itu. Namun jika sesebuah parti menetapkan matlamat untuk mendidik masyarakat, maka seruan-seruan sebeginilah yang akan keluar.
Ikhwan Muslimin sejak awal keterlibatan mereka dalam piliharaya pada era Husni Mubarak lagi menetapkan matlamat mereka untuk mendidik masyarakat. Inilah antara sebab mereka pada awalnya enggan meletakkan calon Presiden walaupun telah menguasai 80% Parlimen Mesir.
2. Stesen TV di Mesir memainkan peranan penting dalam mendidik rakyat. Di sini, mereka menggunakan teknology 'parabola' yang dapat menangkap transmisi stesen TV dari seluruh dunia. Sebahagian stesen TV Mesir beroperasi dari negara luar seperti Qatar dan Bahrain kerana Husni Mubarak mengharamkan operasi mereka sebelum revolusi 25 Januari berlaku.
Banyak rancangan-rancangan membina yang disajikan, antaranya '10 soalan kepada calon Presiden anda' yang menemuramah setiap calon Presiden dan dihoskan oleh Mahmud Saad, antara pengacara yang terkenal di Mesir. juga 'Debat Presiden' antara Abd Mun'im dan Ahmad Syafiq yang membuka ruang kepada rakyat untuk membuat keputusan dengan jelas. Bukan itu sahaja, debat-debat antara cendikiawan, forum-forum antara ulama' telah menjadi norma stesen TV di sini.
Tidak seperti Malaysia, sari program-program yang disajikan adalah berasaskan hiburan semata. Isu ini sangat popular dilaungkan sekarang terutama apabila ia dijadikan tuntutan dalam BERSIH. Namun begitu, saya berpandangan ia bukanlah di bawah tanggungjawab kerajaan semata-mata kerana kerajaan hanya memiliki 3 stesen TV, itupun yang kurang popular. Syarikat Media Prima sepatutnya lebih terkehadapan dalam soal ini. 2 siri debat Khairy Jamaluddin dengan Datuk Ambigaa dan Rafizi Ramli baru-baru ini sepatutnya diiklankan di TV dan ditayangkan 'live' supaya masyarakat luar bandar juga mempunyai akses, bukan terhad kepada penduduk Lembah Klang dan empunya laptop sahaja.
Tidak keterlaluan jika saya ibaratkan media massa sebagai guru kepada masyarakat. Jika 'A' yang ditayangkan, maka 'A' lah jadinya. Jika 'B' yang ditayangkan, maka 'B' lah jadinya. Melihatkan keadaan sekarang, 'guru' kita nampaknya sedang mendidik masyarakat untuk menjadi hedonis dan malas berfikir.
3. Pengalaman ketiga agak mengejutkan. Walaupun Mesir dibanjiri ulama' dan kaya dengan institusi agama dan lain-lain, ramai juga dikalangan mereka masih dibelenggu 'Hududophobia', ataupun trauma dengan perkataan 'Hudud'. Ia bukanlah melibatkan mejoriti rakyat, namun amat ketara pada golongan pertengahan dan golongan atasan.
Hukum hudud adalah salah satu hukum dalam Islam yang hanya mewakili lebih kurang 5% dalam syariat Islam secara keseluruhan. Bahkan Islam sebenarnya lebih luas dari itu. Islam meliputi hubungan manusia dengan Tuhan yang dipanggil Tauhid, ibadat, akhlak, sistem kekeluargaan, sistem pendidikan, sistem pemerintahan dan banyak lagi. Hatta, mengalihkan duri yang jalan adalah termasuk Syariat Islam.
Namun begitu, hudud telah dijadikan momokan oleh musuh Islam untuk menakut-nakutkan rakyat yang mahu memilih calon Islami. Begitu juga halnya yang terjadi pada Mohd Morsy. Malah, diantara sebab yang menyebabkan Abdul Futuh begitu popular di kalangan rakyat atasan adalah kerana menifestonya yang tidak melibatkan Syariat Islam, walaupun beliau merupakan bekas ahli Maktab Irsyad Ikhwanul Muslimin yang popular dengan slogan ' Islam adalah penyelesaian'.
Kesimpulannya, masih banyak yang perlu dilakukan untuk membaiki kefahaman masyarakat kita. Walaupun Mesir baru sahaja 'merdeka' dari regim Mubarak, namun usaha pendakwah dari dahulu tampak telah membuahkan hasil. Teori saya adalah, jika mahu melihat tahap pemikiran masyarakat sesebuah negara, lihat saja pemimpinnya, kerana mereka dipilih oleh rakyat dan mereka mencerminkan pemikiran mejoriti rakyat tersebut. Jika rakyat liberal, maka mereka akan memilih pemimpin yang liberal juga, begitulah seterusnya. Justeru, untuk menaikkan pemimpin Islamik, perlulah kepada masyarakat yang Islamik juga.
Pendidikan/Tarbiyyah itu No.1
Membangun Agenda Ummah
1 comment:
Akhi, nak copy artikel ni. Menarik :)
Post a Comment