Monday, April 30, 2012

Syiah : Hakikat & Sejarah ( Bhg. 1 )


Ini adalah terjemahan daripada buku ‘ Syiah : Perjuangan atau Kesesatan’ yang dikarang oleh Dr. Raghib Sarjani. Tujuan saya menterjemah beberapa petikan dari buku ini adalah untuk mendedahkan isu Syiah yang sedang menyerang negara kita. Kefahaman kepada sesuatu masalah adalah langkah pertama dalam merawatnya. Diharapkan usaha kerdil ini dapat membantu pada pendakwah di luar sana dalam usaha membanteras fahaman Syiah yang sedang menular ditengah masyarakat.

Dr. Raghib Sarjani adalah nama yang tidak asing lagi dalam dunia dakwah. Beliau lahir pada tahun 1964 di Mesir. Merupakan graduasi kuliah perubatan dari Cairo University pada 1988 dengan darjat Mumtaz. Kemudian tamat menghafal quran pada tahun 1991. Berjaya menyiapkan Masters di universiti yang sama dengan darjat Mumtaz pada tahun 1992. Kemudian berjaya mendapat Ph.D dengan pantauan kerjasama antara Mesir dan Amerika ( Surgery of Urinary Track and Kidney ) pada tahun 1998.


 Walaupun mempunyai Ph.D dalam bidang perubatan dan menjadi pensyarah di Cairo University dalam bidang tersebut, beliau sangat minat mendalami ilmu sejarah dan telah menghasilkan puluhan buku seperti Kisah Andalus, Kisah Tunis, Kisah Tartar, Kisah Perang Salib, Kewajipan Umat Terhadap Palestin, Antara Sejarah dan Realiti, Kisah Erdogan, dan lain-lain. Beliau merupakan salah seorang tokoh dakwah Ikhwan Muslimin dan menghoskan laman web sendiri di www.islamstory.com.

DASAR-DASAR SYIAH



Para Sejarahwan berbeza pendapat tentang asal-usul permulaan Syiah. Pendapat pertama dan yang paling terkenal adalah kemunculan mereka bermula apabila berlaku khilaf antara Ali r.a dan Muawiyah r.a ketika Perang Siffin. Jika mengikut pendapat ini, maka pengikut Ali r.a diiktibarkan sebagai Syiah dan pengikut Muawiyah r.a diiktibarkan sebagai Sunnah wal Jamaah. Tetapi, pada hakikatnya ia bukan seperti itu.


Pendapat Ahli Sunnah mengatakan kebenaran antara perselisihan antara 2 sahabat mulia ini berada di pihak Ali r.a. Dan Ahli Sunnah berpendapat bahawa Muawiyah telah berijtihad dalam hal ini tetapi ijtihad itu didapati tidak benar. Maka kecenderungan Ahli Sunnah kepada pihak Ali r.a sangat jelas.

Tambahan pula, yang dikatakan dengan fahaman, prinsip, dan aqidah yang dilaung-laungkan oleh Syiah, itu semua itu jauh dari fahaman, prinsip dan aqidah yang diimani oleh Ali r.a. Maka dengan itu jelas bahawa pendapat yang mengatakan Syiah bermula sebagai pengikut Ali pada peristiwa ini adalah salah sama sekali.

Pendapat kedua pula mengatakan Syiah muncul setelah kematian Husain b Ali r.a. yang mana beliau telah keluar dari pemerintahan Yazid bin Muawiyah. Lalu penduduk Iraq memanggil Husain r.a untuk menyertai mereka di Iraq dan menjanjikan sokongan dan pertolongan kepada beliau.Tetapi di saat akhir mereka mengkhianati beliau dan akhirnya beliau dibunuh di Karbala.

( Masjid Hussein yang dikatakan bersemayamnya kepala Hussein b. Ali ra, yang terletak bersebelahan Masjid Azhar di Kaherah )

Maka bangkitlah sekelompok Muslimin menyeru agar pembunuhan ini dituntut bela.Tetapi di pihak satu lagi menghukum kelompok ini kafir kerana telah keluar dari pemerintahan Bani Umayyah.Maka berlakulah pergaduhan, dan terbunuhlah beberapa orang dari kalangan penyokong Husain dan mereka digelar sebagai Syiah.

Ini dapat menjelaskan pada kita hubungan yang kuat antara Syiah dan Husain r.a, malah lebih kuat dari Ali r.a sendiri.Sepertimana yang dapat dilihat, mereka merayakan hari kematian Husain tetapi tidak merayakan hari kematian Ali.

Kesan dari peristiwa ini ,wujud kelompok yang menentang pemerintahan Umayyah dari segi politik sahaja, sedangkan aqidah, dan mazhab fiqh tidak bertentangan dengan ahlu Sunnah. Dan kita dapat perhatikan sendiri, mereka-mereka yang digelar sebagai pemimpin awal Syiah adalah mereka yang bermazhab Sunni.

                             *                                            *                                           *

Setelah berlalunya masa dan keadaan menjadi stabil, muncul seorang tokoh bernama Ali Zainal Abidin bin Husain, yakni anak kepada Husain r.a. Beliau adalah seorang lelaki yang soleh, ulama’ yang zuhud, dan langsung tidak membawa ajaran aqidah atau fiqh yang bertentangan dengan para sahabat dan tabi’ein.

Dan Ali Zainal Abidin ini mempunyai 2 orang anak lelaki yang soleh dan tinggi darjat wara’ dan taqwa mereka bernama Muhammad Baqir dan Zaid. Dan keduanya mempunyai pandangan yang bertepatan dengan ahlu Sunnah yakni dengan para sahabat dan tabi’en kecuali pandangan Zaid yang mempunyai padangan yang berbeza dengan berpendapat bahawa Ali Abi Talib r.a lebih layak menjadi khalifah daripada Abu Bakar As-Siddiq r.a.

Walaupun pendapat ini bertentangan dengan ijma’ seluruh ummat, dan bertentangan dengan hadith-hadith yang menceritakan kelebihan-kelebihan Abu Bakar, Umar dan Uthman berbanding Ali, namun ia bukanlah permasalahan aqidah. Dan beliau mengakui keutamaan Abu Bakar, Umar dan Uthman, cuma berpendapat Ali r.a lebih layak memegang jawatan Khalifah. Walaubagaimanapun, beliau mengakui keharusan imamah mafdhul, yakni mengiktiraf imamah ( keKhalifahan ) Abu Bakar, Umar dan Uthman.

Hanya pada satu titik ini sahaja beliau berselisih dengan pendapat Ahli Sunnah, tetapi pada semua titik yang lain beliau sependapat dengan mazhab Ahli Sunnah.

Maka dengan itu, keluarlah Zaid dari pemerintahan Umayyah, mengulangi sejarah datuknya, Hussain r.a. pada zaman Hisyam bin Abdul Malik. Dan berakhirlah perkara ini dengan terbunuhnya Zaid pada tahun 122 H. Lalu bangkitlah para pengikut beliau dan mengasaskan mazhab di atas pendirian Zaid ini dan dikenali oleh sejarah dengan nama Zaidiyyah bersempena dengan nama beliau.

Dan mazhab ini, walaupun dikira sebagai Syiah, ia bertepatan dengan mazhab Ahlu Sunnah dalam semua perkara, kecuali dalam bab mengutamakan Ali r.a berbanding 3 khalifah sebelumnya. Pengikut mazhab ini banyak tersebar di Yaman, dan inilah mazhab Syiah yang paling dekat dengan Ahlu Sunnah dan hampir tidak berpecah dengan ahlu Sunnah dalam kebanyakan perkara.

Satu perkara yang perlu disebut disini bahawa pada suatu hari terdapat segolongan dari pengikut Zaid bin Ali Zainal Abidin ini yang pernah bertanya pada Zaid tentang pendapat beliau terhadap Abu Bakar dan Umar. Zaid menyatakan bahawa beliau menghormati mereka berdua. Tetapi golongan ini bukan sahaja tidak setuju dengan beliau, malah menolak kepimpinan beliau dan keluar dari kumpulan Zaid. Golongan ini dikenali oleh sejarah sebagai ‘golongan Rafidah’( penolak ), kerana mereka menolak imamah 2 khalifah yang awal dan menolak pendapat Zaid tentang mereka berdua. Golongan Rafidah inilah yang menjadi pengasas ‘Syiah 12’ yang menjadi mazhab Syiah yang terbesar sekarang.

Setelah Muhammad Baqir meninggal dunia pada tahun 114 H, ( adiknya Zaid meninggal 8 tahun selepas itu ), beliau meninggalkan seorang anak lelaki yang alim dan wara’ bernama Ja’far Sodiq. Beliau adalah seorang ulama’ yang terulung di masa beliau dan menguasai ilmu fiqh dengan sebenar-benar penguasaan, dan beliau menyelusuri  aqidah sahabat, tabi’ein dan ulama’ muslimin yang lain.

  
                        
                                                 *                               *                               *

Pada penghujung era pemerintahan Khilafah Umayyah, wujud satu gerakan dari keluarga Abbas ( yakni dari keturunan pakcik Rasulullah yang bernama Abbas bin Abdul Mutalib ) yang mengajak manusia membuat revolusi terhadap kerajaan Umayyah. Maka gerakan Abbasiah ini saling bekerjasama dengan pengikut Zaid bin Ali Zainal Abidin.

Akhirnya pada tahun 132 H, tumbanglah kerajaan Umayyah dan kerajaan Abbasiah dibentuk dengan Abu Abbas As-Saffah sebagai pemimpinnya.Maka pengikut Zaid ini kecewa kerana tidak dilantik menjadi pimpinan walaupun mereka merupakan cucu cicit kepada Ali bin Abi Talib, anak saudara kepada Abbas bin Abdul Mutalib. Lalu mereka merancang untuk mengadakan revolusi terhadap kerajaan Abbasiah pula. Golongan ini dikenali sebagai Tolibiyyun ( yang di nasab kepada Ali bin Abi Talib ) yakni bertentangan dengan Abbasiyyun ( nasab kepada Abbas bin Abu Mutalib )

                           

Dan sehingga ketika ini, masih tiada penyelewengan dari sudut aqidah mahupun fiqh, kecuali dalam isu Abu Bakar dan Umar.Ini adalah kerana pecahan dari pengikut Zaid yang menolak imamah mereka berdua, malah tidak malu untuk mengkritik secara terang-terangan.

Ja’far Sodiq meninggal pada tahun 148 H, dan meningalkan seorang anak bernama Musa Kazim, yang juga seorang ulama’, tetapi tidak mencapai tahap ayahnya, dan beliau meninggal pada tahun 183 H, dan meninggalkan anak-anak dan diantara mereka ada yang bernama Ali bin Musa Ar-Redha.

                                                                                                                                     ( bersambung .... ) 

3 comments:

Ibn Mustakim said...

bila mawu sambung siddiq?

abu_aseeyah said...

sumber sambungan pada laman:
http://ismamesir.com/v2/2012/05/5308/

abu_aseeyah said...

Sambungan cerita:
http://ismamesir.com/v2/2012/05/5308/