Monday, May 10, 2010

Pelik bin ajaib



Dapatkah anda mengagak apa yang pelik pada keratan akhbar di atas?

.......................................
................................dah jumpa?

Sememangnya saya tahu anda juga bijak seperti saya. Di sebelah kanan terdapat berita tentang bayi yang ditinggalkan di tepi surau (besar kemungkinan anak luar nikah). Di sebelah kiri pula terdapat gambar seorang artis wanita dalam 'pose' yang memberahikan.

1. Sudah terang lagi bersuluh. Kini kita sudah tahu siapakah antara penyebab gejala seks bebas di kalangan muda-mudi: surat khabar itu sendiri! Malah, tindakan sebegini seakan-akan pihak akhbar sendiri mahu mengisytihar terang-terangan bahawa dia adalah 'wadah cakna masalah umat', sekaligus 'wadah penggalak zina'! Sungguh kurang ajar.



2. Saya seperti orang lain sangat meminati akhbar ini kerana beritanya yang 'kurang' berat sebelah dan padat. Tetapi tindakan akhbar ini dengan mula memaparkan gadis-gadis seksi di muka hadapan setiap hari untuk meraih jualan, sungguh mengecewakan saya.

Ia telah menjadikan surat khabar sebagai bahan bacaan yang kurang sesuai untuk kanak-kanak dan pelajar sekolah. Apatah lagi sekolah yang setiap hari melanggannya, dengan harapan agar pelajar mendapat manfaat darinya.

Kehadiran gambar lucah sebegini setiap hari juga menjadikannya semacam pemuas nafsu setiap pagi. Ingat, syahwat itu bermula dengan mata. Andaikata seseorang itu menatap gambar-gambar sebegini pada waktu pagi, entah apa yang dibayang dan dibuatnya sepanjang hari tersebut. Lalu, esoknya ada lagi!

3. Akhbar ini, juga media-media massa yang lain harus sedar bahawa pengaruh mereka yang sangat kuat dalam masyarakat. Dengan mudah pihak media boleh mencorak pemikiran rakyat. Andaikata A yang dipaparkan, maka A lah menjadi pemikiran rakyat. Andaikata B yang dipaparkan, maka B lah yang menjadi pemikiran rakyat. Mungkin isu politik saya boleh bertolak ansur lagi, tapi jika maksiat yang digembar-gemburkan, jangan salahkan orang lain jika bilangan anak luar nikah meningkat naik.

Yang lebih menyedihkan, syarikat akhbar ini dimiliki oleh orang Melayu yang beragama Islam. Adakah merosakkan bangsa sendiri itu menjadi 'trend' zaman sekarang? Saya bertambah pening.