Saturday, May 9, 2009

Tazkirah dari sebuah drama Melayu



Pada suatu malam, saya menonton televisyen bersama keluarga. Sedang kami menonton drama melayu tersebut, ada sebuah adegan yang betul-betul menarik perhatian saya

Kelihatan seorang ibu tua dalam lingkungan 80-an terbaring kaku dan diselimuti kain kafan. Di sebelahnya, seorang wanita dalam umur 30-an, mungkin melakonkan watak anak, sedang meratapi mayat ibunya sambil meraung: “Ibu dah pergi!! ibu dah takde…” sambil menangis teresak-asak.

Saya merenung jauh. masakan ibunya tiada, malah jasad ibunya berada di depan matanya. Yang tiada hanyalah ruhnya. Benar, ruhnya sahaja tiada, maka ibunya dianggap ‘telah pergi’. Itulah hakikat manusia yang sebenar. iaitu RUH nya.

Manusia terdiri dari 3 komponen: ruh, jasad, dan akal. Tetapi hakikat sebenar manusia adalah ruhnya. Namun begitu, ramai manusia yang tidak menganggap demikian. Mereka menganggap segala-galanya terletak pada jasad atau fizikalnya. Kerana itulah kita melihat kebanyakan manusia sibuk menghias fizikal mereka dengan “make-up”, minyak rambutnya, bajunya yang “up-to-date”, malah ada yang sanggup malakukan pembedahan plastik!


semua itu tidak salah(kecuali pembedahan plastik). Akan tetapi kalau boleh, biarlah berpada dan menumpukan lebih perhatian untuk “make-up” roh mereka. Marilah kita tukar istilah ‘mereka’ itu kepada ‘kita’.

Kita sanggup membelanjakan sejumlah wang untuk membeli aksesori untuk fizikal kita, apa salahnya kita mengorbankan sedikit waktu untuk solat dengan khusyu’ atau solat di tengah malam. Kita sanggup membeli makanan yang mahaldan lazat untuk perut kita, apa salahnya kita memberi makan roh kita dengan tilawah Al-Quran. Kita sanggup berjoging dan bersenam di dalam gym untuk badan kita sihat dan kelihatan sasa, apa salahnya kita beristighfar dan bertaubat lalu mencucurkan air mata kerana Allah untuk memperkasakan ruh kita.

Syed Qutb pernah dihantar ke Amerika, untuk mempelajari kurikulum di sana. Setelah pulang, beliau terus mengarang sebuah buku bertajuk “Amerika sebagaimana yang saya lihat”. Beliau sangat-sangat mengkritik gaya hidup disana. Malah menggelar rakyat Amerika sebagai pelarian! Manakan tidak, masyarakat di sana hidup untuk memuaskan jasad mereka sahaja. Meraka mengamalkan seks bebas, sanggup melakukan pembedahan payu dara, hanya tahu melaram dan melupakan sepenuhnya aspek ruh.

Saudara sekalin,

Situasi di Amerika sebenarnya tidak jauh bezanya dengan negara kita sekarang. Terlalu sibuk untuk menjaga jasad, lalu melupai penjagaan ruh akan menyebabkan ruh itu lemah lalu mati. Seseorang yang mati ruhnya akan hilang punca, tidak tentu arah, tidak pernah rasa tenteram. Kerana itulah kita sering melihat gejala vandalisme, mat rempit, mat ganja dan sebagainya. Hati mereka mati, mereka umpama mayat yang hidup. Apa bezanya orang yang ruhnya mati dengan orang yang ruhnya telah pergi? mereka memang betul-betul mayat yang hidup.


Oleh itu wahai saudara sekalian, janganlah kesibukan kita dalam urusan dunia, melupakan kita dari menjaga ruh. Kenanglah ketika anda berasa tidak tenteram, solat tak khusyuk’, itulah petanda bahawa ruh anda sedang sakit. Ingatlah sebuah kata-kata Hukama’: “Taatilah/jagalah Allah, maka seluruh makhluq Allah akan mentaatimu.”