Monday, March 29, 2010

E.G.M - M.C.A


Apa anda tahu mengenai EGM MCA baru-baru ini?

Maaf untuk berkelakuan agak 'politician', namun semangat Islam mengatasi segalanya.

Ya, berbalik pada soalan. Mungkin ramai menjawab Chua Soi Lek menjadi presiden walaupun pernah mempunyai skandal seks dll. Saya rasa itu adalah isu biasa saja. Umum juga mengetahui seks bebas tidak diharamkan dalam peraturan hidup mereka. Jadi perkara ini tidaklah menghairankan.

Berita Datuk Chua Soi Lek menjadi presiden diliputi hampir semua akhbar tabloid tempatan. Namun berita-berita 'lain', secara detailnya saya peroleh dari seorang kawan.
Dalam EGM baru-baru ini, perwakilan ada mengemukakan beberapa usul. Antara yang mendapat sokongan sebulat suara adalah:

1. Penambahan bukan Melayu dalam perkhidmatan awam,

2. Perubahan dan inovasi pengkongsian kuasa Barisan Nasional (BN),

3. Penambahan sekolah vernakular dan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di semua sekolah persendirian Cina.

4. Semua jabatan kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan Biro Tata Negara (BTN) mengubah suai silibus mengikut fakta sejarah dan menyerapkan konsep 1Malaysia ke dalam kurikulumnya

5. Meminta kerajaan menilai semula hukuman fizikal terhadap golongan wanita beragama Islam dan bertindak atas dasar pertimbangan kemanusiaan dengan mematuhi persetujuan yang diterima pakai "Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita" (CEDAW)

Pada pendapat saya, resolusi nombor 2 bersifat stratergi, nombor 4 bersifat jangka masa panjang, manakala nombor 5 pula bersifat mahu 'test power'.

Wednesday, February 24, 2010

Raai', ya Dubai!





Sekian lama saya menyangka United Arab Emirates adalah sebuah negara arab yang kaya dan pentingkan diri sendiri. Kebencian saya bertambah-tambah apabila melihat banyak projek mega dibangunkan untuk memancing pelancong eropah seperti Burj Al-Dubai, Hotel termahal dunia, pencakar langit tertinggi dunia, 3 buah pulau gergasi buatan manusia, Indoor Skying di tengah gurun padang pasir dan berpuluh-puluh lainnya. Projek-projek yang boleh dikatakan ' paling membazir dunia ' ini dibangunkan, tatkala rakyat Palestin sangat mengharap bantuan walau 1 sen pun.

Namun begitu, isu sekarang telah membuktikan sebaliknya. Tragedi pembunuhan Mahmud Al-Mabhuh ala James Bond di Dubai telah diambil perhatian sepenuhnya oleh polis Dubai, sehingga berikrar akan mengheret Benjamin Netanyahu ke mahkamah antarabangsa. Walaupun UAE tahu kesan terhadap tindakan yang diambilnya, seperti tekanan Eropah, pemulauan ekonomi dan sebagainya, mereka tetap bersungguh menyiasat kes ini untuk membuktikan orang Yahudi telah bersalah.

Raai' ya Dubai!
Polis Dubai menegaskan: " Kami punyai berpuluh-puluh bukti bahawa Israel terlibat"

Rakaman CCTV

Sedikit tentang Mahmud Al-Mabhuh

Lahir di Gaza pada 1960, seorang anak yang lahir dalam dunia pelarian dan mengenal erti jerih payah kehidupan.

Mula menyertai Ikhwan pada umur 10 tahun, dan sejak itu, banyak menjayakan operasi-operasi HAMAS. Beliau adalah salah seorang pengasas Briged Al-Qassam yang digeruni Yahudi kerana operasi beliau yang licik dan hebat. Diantara yang terbesar adalah operasi menculik 2 askar Yahudi, Ilan Sa'doun dan Avi Sbourts pada 1989, yang membawa kepada pertukaran tahanan antara Israel dan Palestin. Beliau diburu Mossad sejak itu.

Sebelum pembunuhan ini, 3 kali percubaan membunuhnya gagal. Pada 1991, 2004 dan 2008. Dalam temuramahnya bersama Al-Jazeera yang ditayangkan 6 Januari lepas, beliau menyebut: " Saya tahu (bahawa) saya adalah target Mossad sekarang. Namun saya hidup bahagia di bawah perlindungan Allah".

Pembunuhan di Dubai.

Pada pagi 19 Januari, Mahmoud tiba di Lapangan Terbang Dubai dari Damsyik, tanpa pengawal peribadi. Beliau check-in di Hotel Al-Bustan Rotana pada 3.25 petang yang sama. Keluar sebentar, dan pulang ke hotel tepat pukul 8.25 malam. Sejam kemudian, isterinya menelefon dari rumah, namun tidak dijawab. Polis Dubai menganggarkan beliau meninggal pada pukul 9.00 malam.

Polis juga mengesyaki beliau diberi kejutan elektrik kemudian dicekik hingga mati. Sesetengah media eropah melaporkan beliau disuntik racun. Apapun, keputusan rasmi akan didedahkan awal Mac ini.

Kata hikmat

Beliau menambah dalam temuramah Al-Jazeera : "Siapa yang memilih jalan ini, pasti dia tahu mana akhirnya..."

Moga Allah menggolongnya dalam golongan orang-orang syahid, Amin.



Tuesday, February 16, 2010

Jalan-jalan, cari info


Rakan saya pernah menulis; " Saya sangat suka membaca perihal tentang sesuatu tempat, sejarahnya, keadaan manusianya, cuacanya dan sebagainya. Saya suka, saya minat". Oleh itu, apabila beliau pergi ke suatu tempat, beliau akan menulis tentang tempat itu: sejarahnya, geografinya, masyarakatnya, dan lain-lain. Saya amat meminati tulisan beliau dan tulisan-tulisan orang lain, berkenaan dengan tempat yang mereka ziarahi. Budaya sekarang dipanggil 'travelling'.

Beginilah asas kepada penemuan ilmu sosiology. Bapa Sosiology, Ibn Khaldun telah mengembara ke banyak tempat, seterusnya membukukan pemerhatian-pemerhatiannya. Lalu, lahirlah kitab 'Al-Muqaddimah' yang terkenal itu.

Ibn Battuta, Marco Polo, Laksamana Cheng Ho, adalah beberapa pelayar yang terkenal, atau diistilahkan sekarang sebagai 'traveler'. Bahasa Melayu mungkin boleh panggil 'pelancong sepenuh masa'. Tapi mereka bukan melancong saja-saja. Mereka mencatit apa yang mereka alami. Lalu setelah cendikiawan zaman sekarang meneliti catatan mereka, mereka dapat mengetahui banyak sejarah-sejarah lama. Tidak disangka, dengan melancong pun boleh jadi terkenal.

Jika anda seorang sejarahwan, dan anda mahu mengkaji tentang sejarah-sejarah Tanah Melayu, misalnya, anda tidak akan dapati rujukan untuk membuat kajian, kecuali dari tulisan-tulisan 'Mat Salleh' yang bermastautin di Tanah Melayu ketika itu. Ramai orang melayu ketika itu, namun bezanya, mereka tidak MENULIS.

Ok, hari ini, saya akan mulakan rangkaian penulisan saya (insyallah), tentang tempat-tempat yang saya lawati.

Tuesday, January 26, 2010

HARI INI DALAM SEJARAH.

Saban tahun, kita menyambut 1 Januari dengan meriah. Memandangkan ianya adalah tarikh tahun baru bagi setiap tahun, ramai yang memanfaatkannya dari sudut positif seperti memperbaharui azam, memuhasabah diri, mengadakan ceramah di surau dan sebagainya. Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan dengannya, seperti membuat ‘party’ dan sebagainya.

Dari segi lain, 1 Januari juga kaya dari sudut sejarahnya seperti pengisytiharan penubuhan United Nations (UN), tarikh kemerdekaan Negara Haiti dan Cuba dan sebagainya.

Namun begitu, adakah anda sedar bahawa tanggal 20 Januari juga mempunyai nilai sejarah yang amat tinggi kepada negara kita? Saya percaya, kurang 20% dari rakyat Malaysia yang menyedari nilainya serta mengambil iktibar darinya. Walhal, ia adalah tarikh yang sangat perlu diingati, terutama bagi kita seorang warganegara Malaysia yang muslim.

Sunday, January 3, 2010

Hebahan : Moh kita datang ramai-ramai.



Salam.

Berita baik buat mereka yang ingin ke Timur Tengah (sambung belajar dalam bidang agama), Ikatan Muslimin Malaysia tampil membuat kelas khas untuk anda semua!

Sila rujuk poster untuk maklumat lanjut.

Ataupun klik di sini.

Friday, December 18, 2009

Perasaan tahun baru



Bila tibanya satu sambutan, seperti Hari Raya, harijadi dan sebagainya, saya percaya, masing-masing punyai perasaan berbagai-bagai yang unik, mengikut sejarah masing-masing. Contohnya seseorang yang kehilangan ibubapanya kerana accident jalanraya, pasti hanya berteman tisu sahaja pada pagi raya. Namun bagi kebanyakan lainnya, berasa cukup gembira kerana dapat makan lemang, berjumpa sanak saudara, dan dapat duit raya.

Suasana tahun baru pun begitu, masing-masing punyai perasaan masing-masing. Ada yang berazam bersungguh-sungguh dan bertekad memperbaiki diri, ada yang berseronok mengira detik jam di Dataran Merdeka. Ada juga yang tak perasan sudah masuk tahun baru.

Ini pula perasaan saya bila masuk tahun baru, hijrah.

1. Seperti yang anda lihat sekarang, masyarakat Islam di negara kita masih lemah di sudut 'al-wa'yu islami', ataupun kepekaan Islamik. Anda dapat melihat dengan mata anda sendiri betapa endah tak endahnya rakyat Malaysia dengan ketibaan Tahun Baru Hijrah. Tahun Baru Cina ataupun Krismas lebih meriah disambut di TV3 berbanding program Tahun Baru Islam ini, walaupun taukenya seorang bumiputra beragama Islam. Banyak juga contoh lain yang anda pun lebih arif tentangnya. Saya anggap ini adalah satu kayu ukur, betapa kuatnya pengaruh sekularisme bertapak di minda umat Islam di negara kita. Apa lagi, saya pun berasa sedih lah.

2. Pada hari 1 Muharram 1431 tersebut, secara kebetulan saya terdengar IKIM.FM dalam kereta. Waktu itu, D.J. sedang mengalunkan sebuah sajak tentang Rasulullah s.a.w. dengan memujinya, dan menceritakan jerih payahnya. Hati saya amat tersentuh. Sejenak, saya teringat juga bahawa ulang tahun hijrah, bermakana ulang tahun Ar-Rasul kita keluar dari segala kesempitan. Adakah anda masih ingat harga yang Rasulullah perlu bayar untuk hijrah ini? Adakah anda masih ingat bahawa baginda telah diboikot selama 3 tahun sehingga ada yang memakan daun kering sebelum hijrah? Adakah anda ingat bahawa isteri dan pakcik baginda yang tercinta meninggal kerana boikot itu? Kemudian tanpa perlindungan pakciknya, Baginda mengharungi hari-hari yang amat mencabar sebagai seorang Muslim di Mekah?

Objektif hijrah yang utama adalah untuk meyelamatkan aqidah umat Islam pada ketika itu. Bermakna, jika mereka duduk lagi lama di Mekah, samada aqidah ataupun nyawa yang akan hilang dalam diri mereka. Semua kepayahan sebelum hijrah ini ditempuhi Baginda sebelum 1 Muharram. Dapatkah anda bayangkan perasaan baginda bila melihat bukit-bukit di Madinah semasa hijrah? Pastinya sangat gembira dan terharu!

Semua flashbacks diatas membuatkan hati saya bercampur-baur antara gembira dan sedih. Benarlah kata-kata cikgu sejarah saya dulu, "sejarah ni bukan untuk dihafal, tetapi untuk dihayati dan diambil pelajaran".

3. Di sebalik kesedihan-kesedihan itu, ada satu yang membuatkan saya lega. Saban hari, progress kesedaran masyarakat Islam di Malaysia semakin hari bertambah baik. Saya hanya meneka, mungkin situasi 'politik sensasi' di Malaysia menyebabkan ramai setuju bahawa umat Islam di negara ini mesti bersatu. Ramai saya jumpa anak muda, kebanyakannya yang pakai baju ketat-ketat (lelaki) yang tidak suka dengan politik. Kata mereka sebab tak mahu terlibat dengan perpecahan umat Melayu-Islam yang jatuh-menjatuhkan.

Saya jalan-jalan di laman sesawang pun, berjuta-juta blog islamik muncul. Satu petanda yang amat baik. Tapi, kesedaran saja tak cukup. Transformasi kepada amal, itulah yang susah. " Easier said than done", kata orang putih.

Kerja semakin banyak, umur semakin kurang. Heiiii....

Sunday, November 8, 2009

Alhamdulillah....





Gambar-gambar sebegini pastinya menggiurkan sesiapa sahaja yang malihatnya. Bahkan, ia adalah impian hidup bagi sesetengah orang. Ia sebenarnya adalah sebahagian nikmat atau kebahagiaan yang belum (atau mungkin sudah?) kita kecapi di bumi ini.

Pun begitu, pernahkah kita lihat sekeliling kita, dan merasai, apa yang kita kecapi sekarang adalah lebih daripada mencukupi.

1. Pernahkah anda melihat manusia yang sejak lahir, seluruh kulitnya penuh bersisik. Jika berpeluh, badan terasa sangat pedih. Inilah yang berlaku kepada adik Irsyad yang berusia 2 tahun (gambar). Bayangkan bagaimana dia hendak beriadhah ketika besar nanti, dieejek oleh rakan-rakan kerana memiliki wajah yang hodoh, aktiviti sosialnya pasti terjejas teruk. Cuba lihat wajah anda, walaupun tidak secantik mana, namun ia lebih dari cukup berbanding adik Irsyad, bukan?






2. Pernahkah anda mendengar tentang ibubapa yang mendera, melacur , malah membunuh anaknya sendiri? Kejadian sebegini semakin lazim di kalangan rakyat Malaysia. Cuba lihat ayah dan ibu anda, bukankah mereka sangat menyayangi anda, sehingga sanggup bekerja siang dan malam untuk membiayai yuran pengajian anda? Bayangkan jikalau ibubapa anda bersikap sebaliknya, iaitu dengan mendera, melacur dan membuang anda. Bukankah hidup anda akan jadi lain daripada sekarang?

3. Pernahkah anda merasai suasana gempa bumi? Bayangkan dalam masa 30 saat sahaja, semua bangunan dan ketamadunan ranap sama sekali. Hilanglah harta, keluarga, dan tinggallah sehelai sepinggang (itupun jika bernasib baik anda masih lengkap satu badan). Semuanya berlaku hanya dalam masa setengah minit! Cubalah anda lihat negara anda yang aman dari bencana alam, bukankah ia sudah lebih dari cukup?

JADI,

1. Benarlah kata-kata Allah di dalam Al-Quran : "..Dan HANYA SEDIKIT dari hambaku yang bersyukur.."

2. Muhasabah: Adakah anda mengingati nikmat-nikmat ini tatkala anda mengucapkan tahmid 33 kali setelah usai solat fardhu

3. Ingin berkongsi kata-kata salafussoleh : " sangat bahagia hidup seorang mukmin itu kerana apabila dia ditimpa musibah, dia bersabar. Dan apabila dia diberikan nikmat, dia bersyukur.

Wallahu a'lam

Sunday, October 11, 2009

Exam lagi...



Heh, biasala dalam student life, exam datang dan pergi.
Kami final exam: 19-27 hb Oktober.
Silent mood sebentar, posting pun cuti

Sunday, September 27, 2009

Selamat hari raya!



Pepatah arab ada menyebut: " bukanlah eid itu untuk pemakai baju baru, bahkan untuk mereka yang taqwanya semacam baru"

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin

Kullu aam wa antum bi khair

Sunday, August 30, 2009

No komen

Berita di bawah saya petik dari satu laman sesawang. Nak percaya atau tidak, terpulang pada anda. Namun inilah hakikat sebenar! ( masing-masing boleh tepuk dada, tanya diri sendiri)

"Walaupun kadar penembusan Internet di Malaysia hanya 54 peratus dan bukannya di antara yang tertinggi di dunia tetapi pengguna Internet sangat tinggi pengetahuan teknologi Internet ini.

Satu kajian oleh Omnicom Media Group (OMG) mendedahkan lebih 80 peratus pengguna Internet Malaysia sering bersembang secara online, menikmati hiburan (mendengar muzik, radio) dan membaca blog. Manakala 64 peratus menonton video secara online dan mengemas kini laman web jaringan sosial mereka. Peratusan ini berbeza dengan Australia (57 peratus) dan Korea (31 peratus).

Kajian yang diadakan bagi lima negara Asia Pasifik ini melibatkan Malaysia, India, Korea, China dan Australia. Kajian ini juga menyatakan 78 peratus daripada pengguna Internet Malaysia memuat turun muzik, filem atau rancangan televisyen, 86 peratus cenderung kepada permainan komputer dan 91 peratus terlibat dalam pertukaran mesej."


...shhhh...muhasabah diri...muhasabah diri....

sumber: Haluan.org.my