Sunday, July 6, 2008

Tangisan dakwah melalui seni

Ana terjumpa satu puisi yang sangat indah dari blog seorang ex-student sekolah hira' yang sangat menarik untuk dikongsi bersama.Ia dicipta oleh penyair terkenal bernama Muhammad Iqbal dari Pakistan. Ramai ulama' haraki memetik puisi beliau untuk dimasukkan dalam buku karangan mereka, diantaranya adalah Muhammad Ahmad Ar-Rasyid sendiri.Marilah kita hayati kemanisannya.

(Buat musafir, terima kasih)

Wahai kau yang lahir di bumi seindah mawar
Yang lahir dari rahim peribadi
Jangan ingkar akan peribadimu!
Berpeganglah padanya!

Jadilah setitik air dan reguk samudra ini!
Sang peribadi yang berkilauan itulah sifatmu
Perteguh peribadimu dan kau kekal selamanya
Banyak manfaat yang akan kau dapat
Kau punya wujud, tapi takutkah kau jika tak berwujud?
Wahai yang tolol, luruskan pengertianmu
Sebab aku mengetahui harmonisasi hidup
Maka akan kusingkapkan rahasia kepadamu
Tentang kehidupan:
Gali dirimu jadi mutiara
Dari khalwat batinmu lahirkan dirimu
Di bawah asap dan abu bara mengumpul
Bernyalaan menyilau mata.
Pergilah, bakar rumah bencana
Kelilingi diri jadi nyala api penuh gerak!
Apakah artinya hidup jika tak mampu melepas diri
Dari orang lain
Dan anggap dirimu sebagai Ka’bah?
Rentang sayapmu dan bebas dari gaya tarik bumi
Seperti burung-burung jangan mau jatuh
Tapi, kalau kau bukan burung
Jangan membangun sangkar di atas gua
Kau akan bijaksana.

Wahai kau pencari ilmu
Kusampaikan bagimu pesan Rumi:
“Jika ilmu sebatas kulit, dia jadi ular
Jika ilmu meresap sampai ke hati, dia jadi sahabat.”
Pernahkah kau dengar tentang seseorang ahli di Rum
Mengajarkan filsafat di Aleppo?
Dia terburu-buru mengatakan bukti-bukti pengetahuan
Dari pikiran yang terombang-ambing di kegelapan laut badai
Dikupasnya skeptisisme dan neoplatonisme
Dihubungkannya dengan metafisika
Dijabarkannya soal-soal peripatetika
Cahaya akalnya menerangi segala yang gelap
Tumpukan buku terhampar di sekeliling dirinya
Di bibirnya tergantung kunci seluruh rahasia
Shams-i Tabriz seorang sufi pengelana
diajak Baba Kamaluddin Yundi
Menjumpai Rumi untuk memberikan pandangannya
Tapi, Rumi dengan suara langtang berkata kepadanya:
“Apa faedahnya semua omong kosong dan bualan itu?
Apa gunanya qias, waham serta istilah itu?”
“Sabar dulu, tolol!” sahut sang Sufi.

“Janganlah engkau remehkan
Pengetahuan seorang terpelajar sejati.
Keluarlah kau dari kuliah ini!
Ini adalah keterangan dan percakapan
Tak ada kaitannya dengan dirimu
Uraianku di luar batas akal-pikiranmu-
Kau tak akan faham.”
Namun, diam-diam perkataan Rumi membekas di sanubarinya
Jadi api dalam sekam dalam jiwanya
Api rohaniyah membakar tumpukan lalang akali
Dan dia bakar seluruh buku filsafatnya
Karena selama ini dirinya jauh dari mukjizat Sang Cinta
Dan buta akan cinta kasih.

Maka, jangan kau campak ilmu ketuhanan ke belakangmu
Jangan kau jual agama demi sepotong roti
Bagi kau yang tergila mencari barang murahan
Tak kau sadar kegelapan matamu
Carilah inti kehidupan dari mata pedang sendiri
Peliharalah kemurnian Islam
Tapi jangan kau cari nyala cinta dari ilmu yang lain
Jangan reguk fitrah hakiki dari piala sang kafir
Lama aku terbentur ke sana ke mari
Mempelajari rahasia ilmu baru:
Penjaga tamannya membujuk diriku
membelai bunga-bunganya
Sekuntum tulip mengingatkan diriku
Jangan cium bunga-bunga itu
Mawar kertas dengan wewangian palsu
Karen ataman itu tak dapat memusnahkan diriku
Maka, aku bersarang di pohon Syurgaku sendiri
-Ilmu moden adalah kebutaan yang akbar!
Memuja patung, menjual arca dan membangun kuil
Sembari kita terikat dalam penjara fenomena
Tak sanggup dilampauinya batas nyata ini
Akan terjatuh dia tatkala meniti jembatan kehidupan ini
Seperti mengiris leher sendiri
Meski ada padanya nyala, namun dingin dia rasakan
Fitrahnya tak tersentuh nyala cinta
Jangan salah ukur kau pada lagu orang lain
Wahai, yang mengemis seiris kerak dari meja orang
Apakah akan kau cari bagianmu di warung orang lain?

Kita yang menjaga benteng Islam
Akan jadi kafir sebab mengabaikan panggilan Islam.


Muhammad Iqbal
Pakistan

Saturday, June 21, 2008

Sesak dada!



Sesak dada…….hanya itu perkataan yang terpacul dari mulut kebanyakan orang ketika ditanya tentang isu kenaikan harga minyak serta-merta ini.


Mana taknya, pabila minyak naik, harga tariff elektrik pun naik, tambang bas naik, beras naik, minyak masak naik, gula naik, tepung naik, yuran sekolah naik, semuanya naik. Yang tidak naik adalah gaji dan bonus. Kalau dulu kos sara hidup untuk seorang ( di bandar ) mungkin dalam RM 400 sebulan, akan naik menjadi RM 500. belum lagi yang berkeluarga, yang bependapatan RM 1000 sebulan.


Huh, memang sesak dada.


Minyak naik? Peliknya!


Saya terfikir, pelik juga kalau harga minyak naik di kebanyakan negara Islam. Kerana yang keluarkan minyak adalah negara Islam juga. Hmm.. macam mana ye?


Keistimewaan mutlak pada bumi kita


Bila saya belek-belek surat khabar, cari-cari maklumat di internat, saya menjumpai satu fakta yang agak mengejutkan. Baru saya sedar satu hakikat yang sangat penting.


Sebenarnya Allah s.w.t telah menganugerahkan pada tanah-tanah Islam satu anugerah yang cukup hebat yang tiada pada tanah kuffar yang lain.


Contohnya tanah yang subur, kita telah melihat kesuburan tanah di Lembah Nil, suburnya tanaman Zaitun dan buah-buahan di Palestin dan Jordan sehingga menghasilkan buah yang besar dan bermutu. Kita juga telah melihat kesuburan Indonesia dengan tanah gunung berapi sehingga terbentangnya bendang yang menghijau luas. Bumi subur sebegini memang jarang didapati di tempat lain.


Allah s.w.t juga telah melimpahkan tanah jajahan Islam dengan minyak yang banyak. Lihat sahaja Arab Saudi, pemegang ranking pertama pengeluar minyak dunia, Kuwait, Iraq, Iran, United Arab Emirates (UAE), Algeria, Sudan, Indonesia, Malaysia dan banyak lagi. Bila ditotalkan semuanya, kita menguasai lebih dari separuh telaga minyak dunia!


Mengapa dengan semua kelebihan ini umat Islam masih dihimpit isu kewangan? Sepatutnya, kita sebagai pengeluar utama dunia, kitalah yang menerima keuntungan berlipat ganda pabila harga minyak melonjak di pasaran dunia, lalu meningkatkan taraf hidup umat Islam, bukan hidup melarat. Negara barat sebagai pembelilah yang harus sesak dada sepertimana yang kita rasa sekarang.


Semua kereta BMW di Jerman bergantung pada kita untuk terus bergerak. Bila harga minyak naik, mereka malah boleh membeli lebih banyak BMW yang mereka suka. Kitalah yang terpasa bertukar kepada kancil!


Situasi yang terbalik


Saya melihat situasi ini adalah situasi yang sangat janggal. Kita yang jual, kita pula yang rugi. Macam seorang tauke menjual ayam. kalau seekor ayam dapat untung RM1.00 (contohnya), kalau jual 100 ekor dapat untung RM100. Ini tidak, jual ayam 100 ekor, rugi RM 100. mana pergi semua untung?


Saya bukanlah pakar ekonomi atau politik yang boleh mengupas dengan lebih mendalam tentang isu ini seperti ke mana royalti minyak pergi dan sebagainya. Tetapi sebagai seorang rakyat biasa yang cetek ilmunya, saya rasa perkara ini adalah disebabkan 2 perkara ( jika salah sila betulkan).


Pertama sekali adalah kerana semua negara Islam berpecah belah dan kurang persefahaman. Sememangnya keahlian kita dalam OPEC cukup ramai. Untungnya pun besar. Saudi Aramco saja sudah USD 199 billion (2007). National Iranian Oil Company pula USD 90 billion, manakala Kuwait Petroleum Corporation USD 59 billion, Petronas USD 51 billion dan firma Iraq dan Turki pula masing-masing sebanyak USD 45 billion dan USD 34 billion( Utusan Malaysia, 20 Jun 2008). Dengan kekuatan ekonomi yang besar, bila digabungkan, bukan sahaja dapat membina satu blok ekonomi yang kuat, sekaligus dapat membantu rakyat di negara Islam yang miskin. Kita nanti bukan sahaja tidak sesak dada, malah dapat menikmati taraf hidup yang tinggi.


Dengan menjadi blok ekonomi yang bersatu, serta-merta kuasa politik yang besar, berada di tangan kita. Contohnya, kita dapat mengugut negara-negara yang mendapatkan bekalan minyak dari kita yang hendak menyerang Palestin, sebagai contoh, untuk membatalkan hasrat mereka agar bekalan minyak kepada mereka tidak dipotong. Jikalau bekalan minyak mereka dipotong, bagaimana kereta kebal, jet pejuang, dan alat-alat risikan yang menggunakan petrol dan elektrik mahu berfungsi? Siapa mahu bekalkan minyak pada janakuasa elektrik di negara mereka? Kereta api, bas, ambulans dan teksi di negara mereka mahu bergerak dengan menggunakan apa? Bukan sahaja bala tentera, malah satu negara akan lumpuh!


Kita semua sangat mengetahui hakikat ini, tetapi tetap tidak bersatu. Yang ada pun mungkin konferens di hotel-hotel mewah, tetapi lepas itu senyap seribu bahasa. Entahlah, nampaknya Yahudi telah menjalankan kerja mereka dengan baik sekali.


Keduanya adalah kerana kebijakan ahli-ahli ekonomi kuffar membawa keuntungan minyak kita, kembali kepada mereka. Contohnya seperti perkhidmatan mencarigali dan memproses minyak sehingga ia boleh digunakan, (seperti yang Singapura lakukan sekarang). Perkhidmatan ini sangat banyak untungnya. Padanlah syarikat-syarikat gergasi seperti ExxonMobile (syarikat minyak terbesar dunia) dan ConocoPhillips yang berpengkalan di Amerika serta Shell yang berpengkalan di Belanda sanggup datang beribu-ribu batu ke Sabah semata-mata untuk mengejar kontrak.


Mereka juga berjaya memujuk kebanyakan negara Arab untuk melabur di Eropah dan Amerika. Sebuah dokumentasi, Farenheit 9/11 telah mendedahkan bahawa negara terbesar pelaburannya di Amerika adalah Arab Saudi, sehinggakan pejabat kedutaannya di Washington sangat dikawal ketat oleh polis, yang tiada pada kedutaan yang lain. Akhbar tempatan juga pernah melaporkan, jika semua negara arab menarik pelaburan mereka di bank-bank eropah, nescaya mereka semua akan bankrap serta-merta.


Disinilah hilangnya semua keuntungan minyak arab. Patutlah orang Jerman dapat beli lagi banyak BMW. Lagi harga minyak naik, lagi banyak negara arab melabur, lagi kayalah mereka. Kalaulah kesemua untung minyak itu dapat memberi sedikit subsidi minyak kepada negara Islam, takdelah kita melarat macam ni.


Sekali lagi, ucapan tahniah pada Yahudi.


Beranganlah!


Kalaulah ada rijal-rijal yang dapat satukan kembali kesemua negara Islam yang berpecah belah, kalaulah ada rijal-rijal yang dapat merampas kembali hak milik umat Islam daripada tangan kuffar, kalaulah ada rijal-rijal yang dapat mengembalikan zaman keagungan Islam, sepertimana yang kita pernah kecapi dahulu.


Kalaulah……….


Kalaulah……….

Sunday, May 25, 2008

Cuti?......hhmmm......


Pada cuti akhir tahun yang lepas, sebelum balik untuk cuti akhir semester 2 selama 1 bulan(satu tempoh yang panjang bagi pelajar hira’) saya sempat bertanya kepada beberapa teman dan adik-adik tentang apa yang mereka akan buat sepanjang cuti. Respon yang diterima adalah seperti berikut:

Pelajar A : Naqeeb ana ada rancang program, pastu ana ada rancang nak amek tusyen.

Pelajar B : Apa lagi, mestilah lepak dengan member habis-habisan!

Pelajar C : Ntahlah, (tersenyum simpul) ana pun tak tahu nak buat apa.

Bila selesai cuti sekolah, saya pun melihat kesannya. Pelajar A memang meningkat dari sudut semangat mengikut tarbiyyah mahupun pelajaran. Pelajar B pula bertambah rosak dan semakin jauh dari cara hidup Islam. Pelajar C pula, akhirnya dia kecundang. Juga banyak melayari iternet yang bukan-bukan, melepak tidak tentu hala, akhirnya semakin rosak lalu menyertai ‘qabilah’ pelajar B.

Perhatikan persamaan pelajar A dan B, mereka merancang, lalu mendapat manfaat hasil mempraktik perancangan mereka. Sedangkan pelajar C yang tidak merancang buat apa-apa, akhirnya buat juga apa-apa. Bermakna, jika kita tidak merancang sesuatu untuk cuti, benda lain akan masuk, dan biasanya syaitan akan membisikkan kejahatan seperti yang berlaku pada pelajar C. teringat ana pada satu kata-kata salaf:

“ Otak tidak akan berhenti berfikir, mulut tidak akan berhenti berkata-kata, dan tangan tidak akan berhenti bergerak”

Oleh itu, perancangan cuti amatlah penting. Sepertimana kita dijadualkan di sekolah, seperti itulah kita harus membuat jadual untuk mengurus masa kita dirumah.

Ok, buat perancangan, buat jadual………hhmmm………..nak buat apa ye?

Mari mengurus masa

Ada sebuah kata-kata yang menyatakan: “ Manusia yang paling penat adalah manusia yang paling besar cita-citanya”

Kalau seseorang itu bercita-cita untuk untuk cemerlang dalam SPM atau PMR atau menjadi seorang al-hafiz semata-mata, maka cuti mereka akan disibukkan hanya dengan belajar dan hafal Al-Quran sepanjang masa. Selepas cuti, memang mereka akan menjadi bijak atau banyak hafalan di kepala. Tetapi fikir kembali, adakah setakat itu cita-cita anda? Jadi bagi mereka yang bercita-cita akan redha Allah dan inginkan perubahan yang hakiki, dengan apa cuti kita patut disibukkan? Ada sebarang idea?

Cadangan-cadangan

Bagi mereka yang kekurangan idea, di sini saya kongsikan beberapa cadangan yang dipetik dari pandangan beberapa orang ustaz. Kemungkinan idea ini dapat memuaskan jiwa pemuda Islam yang sentiasa berfikir bagaimana untuk mengoptimumkan cuti mereka semaksima mungkin.

1) Ziarah. Masa cuti inilah kita dapat buat apa yang kita tidak dapat buat, atau susah dibuat ketika di sekolah. Para nuqaba’ bolehlah bertandang ke rumah anak buah untuk lebih mengenali mereka. Menziarahi ahli usrah juga amat praktikal untuk merapatkan ukhuwwah. Untuk mendapatkan beberapa ‘pandangan baru’, ziarah ke rumah ustaz-ustaz atau syeikh-syeikh juga boleh disusun.

2) Membaca tafsir. Al-quran diturunkan bukan untuk dihafal dan dibaca semata-mata, tetapi tujuan utama ia diturunkan adalah untuk diamalkan agar seluruh dunia dapat merasai rahmat yang dibawa Islam. Lalu bagaimana hendak diamalkan jika tidak difahami, lebih-lebih lagi bagi orang melayu. Masa yang terluang bolehlah digunakan untuk mengkaji tafsir seperti Tafsir Fi Zilal dan sebagainya kerana membaca tafsir ini memerlukan masa untuk menghabiskannya. Lebih bagus dimulakan dengan Juz 30 kerana terdapat banyak ayat Makkiyyah iaitu antara ayat yang terawal diturunkan.

3) Membaca juga, dan kali ini bacalah buku-buku sirah atau buku thaqafi yang lain. Kalau boleh tetapkan nak habiskan satu atau dua, sebagai contoh. Jikalau kita ketika sekolah terlalu sibuk hingga tiada waktu untuk membaca, inilah peluang kita untuk qada’!

4) Dalami kemahiran-kemahiran baru. Banyak kemahiran atau skill yang boleh dipelajari di rumah. Contohnya, kemahiran komputer. Banyak dauroh atau pengisian sekarang sering menggunakan slide multimedia untuk menarik minat pendengar. Mereka yang mahir menggubah video juga sangat berguna dalam program-program. Disekeliling kita juga banyak terdapat design-design islamik yang sangat menarik. Semasa cuti, bolehlah ambil kesempatan untuk belajar flash, photoshop dan sebagainya.

Kemahiran memasak juga amat penting selepas tamat sekolah nanti. Mereka yang tidak pandai memasak akan terpaksa bergantung pada orang lain. Terdapat kes pelajar melayu yang belajar di luar negara, pabila tiba hari raya dan ingin menyambutnya ‘gaya Malaysia’ terpaksa bersedih kerana lemang (dikirim khas dari Malaysia) yang dimasak menjadi bubur kerana tidak pernah masak nasi. Nah, daripada tidur selepas subuh, apa kata kita yang menyiapkan sarapan?

Banyak lagi kemahiran lain yang boleh diterokai di rumah, asalkan ianya dapat meyumbang untuk Islam seperti menggubah lagu, membaiki alat elektronik, menjahit dan sebagainya. Al-Banna juga pernah menyeru agar setiap muslimin mempunyai kepakaran tersendiri.

5) Bergaul dengan masyarakat sekeliling. Ini amat penting terutama pelajar asrama yang ingin terjun ke dalam masyarakat dan mengubah keadaan mereka. Manfaatkanlah cuti dengan berkenalan dengan remaja di taman perumahan agar dapat mengetahui sendiri keadaan sebenar mereka. Ini sangat perlu supaya kita mempunyai pandangan yang jauh dan tidak terikat dengan sesebuah suasana sahaja, lalu dapat mengelakkan kejutan budaya atau ‘culture shock’ selepas keluar nanti. Apa salahnya kita meluangkan beberapa minit selepas solat di surau untuk bersembang dengan mereka atau menghabiskan waktu petang kita bermain bola bersama mereka dari terperap di dalam rumah?

Waktu cuti sebegini akan sangat jarang didapati lagi. Manfaatkanlah ia seoptimum mungkin. Ingatlah sebuah hadith Rasulullah s.a.w “ 2 nikmat yang sering dilupa manusia iaitu kesihatan dan waktu lapang”

Wallahualam.

Saturday, April 5, 2008

Tokoh bersempena 80 tahun penubuhan Ikhwan:

Kamaluddin As-Sananiri



Latar Belakang

Beliau lahir di Kaherah pada 11 Mac 1918 dan dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Setelah menamatkan pengajian di sekolah dan universiti, beliau bekerja di Jabatan Kesihatan, bahagian pengawalan Penyakit Malaria. Tahun 1938, beliau dipecat dari Jabatan Kesihatan lalu berhasrat untuk menyambung pelajaran ke Amerika, dalam jurusan farmasi, agar dapat menolong di farmasi ayahnya. Atas nasihat seorang syeikh, baliau membatalkan niat tersebut kerana ada beberapa kerugian.

Bergabung dengan Ikhwan

Beliau bergabungdengan Ikhwan pada tahu 1941 tatkala berumur 23 tahun. Pada awal penglibatannya, dia sangat menonjol dari rakan sebayanya, sehingga diberi banyak tugas besar.

Beliau sempat berguru dengan Hasan Al-Banna dan kerap mendampingi beliau. Beliau sangat menjaga qiamullail, puasa, membaca Quran da sangat tawadhu’ kepada mereka yang lebih muda.

Ayahnya meninggal dan meninggalkan seorang isteri dan 6 orang anak. Dia menjadi pengganti ayahnya dalam membei nafkah dan mendapatkan barang-barang keperluan. Begitulah dia memikul beban dakwah dan ketua keluarga.

Kerana kesibukannya menjalankan usrah, katibah dan beberapa pjojek dakwah lainnya, beliau tidak sempat membeli perabot-perabot untuk rumahnya kerana sering berpergian dari satu tempat ke satu tempat. Berehat sebentar, dan makan beberapa suap di rumah kkaknya, lalu berangkat semula. Begitulah kehidupannya tanpa sehari-hari tanpa mengabaikan hak keluarga.

Kamaluddin di dalam penjara

Tanggal 28 Febuari 1954, satu demonstrasi besar yang dikoordinasi oleh beliau bergerak ke Istana Abidinuntuk mengembalikan kebebasan rakyat yang dirampas Jamal Abd. Nassir. Tragisnya,demo yang disertai ratusan ribu ini dihujani peluru sehingga ramai yang syahid.

Setelah perisik Jamal mengetahui pengkoordinator demo tersebut, beliau ditangkap dan dijatuhi penjara selam 20 tahun. Kerajaan meminta kakak dan ibu Kamaluddin yang telah berumur 70 supaya memujuk Kamaluddin meminta maaf dari pemerintah. Beliau jawab dengan tenang:” Bagaimana nasibku di hadapan Allah, apabila saya mengirim surat ini pada Jamal, kemudian aku mati. Sukakah ibu melihat saya mati dalam keadaan musyrik?

Ia mendapat penyiksaan keji, sehingga satu dari telinganya cedera.Setelah dipindahkan ke rumah sakit, telinga yang sakit dapat mendengar lebih baik dari telinga sebelah.

Iparnya dari isteri yang dicerai juga masuk penjara. Ketika dia melihat penyiksaan teruk yang dialami Kamaluddin, ia bengong lalu menjadi gila dan dibawa ke hospital sakit jiwa.

Ibu dan kakaknya sering menghadiri pembicaraanya pada 1954. Pada sidang pertama, ibunya tidak mengenali beliau, kerana fizikal beliau yang berubah akibat siksaan teruk. Ibunya bertanya “ mana adikmu?”, kakaknya menjawab “ tu, yang berada di kandang tertuduh”. Ibunya tidak percaya, lalu berkata “ itu bukan anakku, barangkali aku sudah rabun”

Pernikahan dalam penjara

Ketika dipenjarakan, beliau bernikah dengan Aminah Qutb, adik beradik kandung Syed Qutb. Keduanya hanya dapat bersama setelah beliau dibebaskan pada 1973. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata keranaAminah Qutb telah berumur lebih 50 tahun.

Jihad setelah keluar penjara

Abdullah Al-Aqil, antara rakan karib beliau bercerita” aku bertemu dengan Kamaluddin semakin kerap setelah beliau keluar dari penjara. Seolah-olah penjara selama 20 tahun semakin menambah ketulusan, kebersihan hati dan ketaqwaannya, lalu ia berusaha keras menyatukan saf Ikhwan di seluruh dunia.

Saya sering bekerja bersama beliau ketika kepimpinananya, terutama ketika jihad di Afghanistan yang beliau dokongi seluruh kemampuannya. Para mujahidin menganggap beliau sebagai guru dan ayah, dan sangat mencintai beliau.

Kisah lawatan Kamaluddin ke negara-negara Arab sangat panjang. Kesan yang ditinggalkan kepada orang yang menjumpainya tidak dilupakan mereka. Kerana kata-kata yang sederhana menembusi hati pendengarnya dan dapat dihayati semua orang.

Kesyahidan beliau

Ketika kembali dari Afghanistan, beliau ditangkap dan disiksa sakali lagi untuk mengetahui apa yang dilakukan beliau di sana. Tetapi tidak sepatah pun yang keluar dari mulutnya, lalu penyiksaan yang pedih dan berlarutan tidak dapat ditanggung orang tua ini, lalu beliau menghembus nafas terakhir pada 8 November 1981.

Struktur Organisasi Ikwanul Muslimin Antarabangsa mengucapkan belasungkawa atas kesyahidan beliau.

Mulahazhoh

Ketika terbaca tentang kisah hidup beliau, hati saya berasa sangat kagum dan bercampur malu. Kagum kerana kehebatan beliau berjaya menghadapi mehnah dan ujian yang sangat teruk sehingga menemui syahid. Bukanlah teruknya seksaan algojo pada beliau yang membuat saya kagum, tetapi saya sangat kagum kerana beliau meninggal dalam keadaan masih menjaga rahsia, kehebatannya untuk istiqomahlah yang membuat hati saya terpacul.

Malu pula adalah kerana beliau sangat teruk disiksa, sehinggakan ibu ( pihak kedua yang sangat arif tentang kita; emosi, fizikal, fikiran, alahan, tabiat, hobi, selepas Allah) pun tidak lagi mengenali beliau setelah disiksa di dalam penjara. Tambahan pula, dalam umur sekitar 50-an, ia bukan sesuatu yang mudah. Yang paling penting, kita tidak mendengar walau 1 rengekkan daripada beliau. Segala kisah ini membuatkan saya rasa mehnah yang baru kita hadapi hanyalah sebesar semut yang tidak layak bagi kita untuk mengeluh. Khabbab pernah datang mengadu pada Rasulullah dan meminta baginda berdo'a supaya Allah mengurangkan sedikit bebanan orang Islam yang disiksa.Rasulullah menjawab dengan hadith yang menceritakan orang zaman sebelum ini menjaga Islam sehingga disikat otak, menggunakan sikat besi. Bayangkan, sahabat disula, dibunuh, dijerut dan disiksa sebegitu rupa, Rasulullah masih anggap itu masih ringan. Bayangkan ujian kita, mana tarafnya?

Saturday, March 8, 2008

Tarikh keramat 3 Mac 1924

Maaf kerana agak terlewat untuk menulis tentang tarikh keramat ini. Walaupun sudah 6 hari berlalu, namun saya tetap akan gembar-gemburkan juga tarikh ini. Kerana bagi saya, ia adalah suatu isu yang besar, malah terbesar dalam hidup kita. Kalau hari raya, sebulan selepas itupun masih terasa bahangnya. Tetapi isu ini adalah isu yang terbesar, dan mengalahkan segala isu-isu yang ada, pilihanraya ,dan lain-lain, malah hari raya sekalipun. Dan semestinya tarikh ini bukan dirasai sebulan sebelum, atau sebulan selepas, malah sampai bila-bila, sehingga ke hembusan nafas kita yang terakhir, insyallah.

Tulisan-tulisan mengenai tarikh ini mungkin telah banyak yang anda baca. Di sini saya hanya mahu berkongsi beberapa gambar, moga sama-sama kita dapat ambil manfaat darinya.


Ini merupakan cap mohor rasmi bagi khilafah Uthmaniyyah.

Di dalamnya tertera hampir kesemua jenis senjata yang wujud pada zaman itu ( termasuklah pistol) untuk menunjukkan betapa gagahnya mereka pada ketika itu.








Ini merupakan majlis perlantikan Sultan Abdul Hamid ke-2 pada 31 Ogos 1876.

Beliau dikatakan sebagai khalifah bukan boneka terakhir Uthmaniyyah. Beliau juga berjaya melambatkan proses kejatuhan khilafah selama beberapa tahun.

Yahudi dan sekutunya sangat membenci khalifah ini kerana berjaya menghalang beberapa rancangan mereka. Di antaranya adalah pembelian tanah umat Islam di Palestin oleh pihak Zionis, maka timbullah kata-kata yang cukup masyhur sehingga sekarang:

“ Demi Allah, tanah ini bukan milik aku, tetapi milik umat Islam seluruh dunia. Aku lebih rela melihat daging tubuhku dicincang-cincang, daripada melihat tanah umat Islam di pisah-pisahkan., dan itu takkan berlaku selagi aku hidup. Beritahu pada Yahudi untuk simpan duit-berjuta-juta itu, dan mereka boleh ambil tanah Palestin sesuka mereka tanpa membayar sesen pun, ketika khilafah telah tumbang”

Satu lagi kata-kata berharga beliau: “Sesungguhnya hanya Islam sahajalah satu-satunya unsur yang menjadikan kita kuat. Kita mampu menjadi umat yang memiliki survival dan kuat dengan syarat kita hendaklah membenarkan ISLAM agama kita yang agung.”

Walaupun sistem khilafah telah kucar-kacir, pemerintahan beliau berjaya bertahan selama 33 tahun.

Salah satu pemberontakan rakyat yang disusun Yahudi untuk menggulingkan Sultan Abdil Hamid 2 pada tahun1908 di Istanbul.








Penggulingan Sultan Abdul Hamid 2 pada 27 April 1909, hilanglah wira terakhir umat Islam.







Iblis bertopeng manusia

Mustafa Kamal adalah namanya, Atarturk merupakan gelarannya yang bererti ‘ bapa orang turki’














Kamal Attaturk meninjau ‘tenteranya’ di Gallipoli pada 1915. Ketika itu sedang rancaknya Perang Dunia pertama. Yahudi telah menyusun tentera dan kemenangan Kamal untuk menunjukkan bahawa Kamallah yang boleh menyelamatkan umat Islam, bukannya Khilafah. Taktik Yahudi nampaknya berjaya.















1 Mac 1924 : Kamal Attaturk dalam sidang Agung menegaskan betapa perlunya Turki mencabut dan membuang Islam dari politik negara itu yang telah bertapak sejak berkurun lamanya.
















3 Mac 1924 : Berita pembubaran sistem khilafah dan pemisahan antara agama disiarkan secara rasmi. Sultan Abdul Majid iaitu khalifah terakhir diperintah keluar dari Turki. Gambar disebelah menunjukkan Sultan Abdul Majid besama anak perempuan dan cucunya.














" LA BUDDA, AN NU'ASSISA MINAT TAHAT!" -Syakib Ar-Salan-

Wallahu'alam


Thursday, January 17, 2008

Hijrah dan Pemuda


Selamat tahun baru. Semoga di tahun baru ini memberikan nafas baru kepada para pejuang yang teguh bekerja siang dan malam tanpa mengenal erti penat untuk melihat agama Allah kembali memayungi dunia. Rasanya masih belum terlambat untuk ana menulis sedikit tentang peristiwa agung ini, kerana rombongan hijrah Rasulullah dan Abu Bakar keluar dari Mekah adalah pada akhir bulan Safar, dan keluar dari Gua Thur menuju ke Madinah pada awal bulan Jamadil Awwal, mengikut sebahagian ulama’ sirah. 1 Muharram dinamakan sebagai permulaan tahun baru mungkin disebabkan rombongan pertama muslimin keluar pada tarikh tersebut.

Sebut saja tentang hijrah, pasti ramai akan terbayang segala macam durus wal ibar yang boleh dicedok dari kisah-kisah popular ketika peristiwa tersebut berlaku. Betapa kita boleh melihat begitu teraturnya Rasulullah membahagikan hijrah kepada beberapa fasa. Fasa pertama melibatkan sahabat yang muda dan kuat berhijrah secara sirr, fasa kedua melibatkan Umar Al-Khattab berhijrah secara jahr untuk membawa sahabat-sahabat yang lemah dan mudah ditindas. Kemudian hijrah Rasulullah sendiri dan barulah keluarga baginda seperti Ali dan lain-lain.

Betapa kita boleh melihat betapa tingginya semangat para sahabat, sehinggakan beberapa sahabat yang sangat tua yang mengetahui mereka akan menemui ajal sebelum sampai ke Madinah turut berhijrah walaupun mereka tidak diwajibkan oleh Rasulullah sehingga mereka meninggal dunia di tengah jalan. Kaum kafir Quraish mentertawakan sahabat-sahabat yang tua tadi kerana menganggap mereka sangat bodoh. Padahal merekalah yang sedang ditertawakan sahabat-sahabat tadi yang sedang memerhati mereka dari syurga yang penuh nikmat.

Dari mana datangnya semangat yang sebegitu rupa? Mungkin mereka sangat memahami kata-kata yang diungkapkan Rasulullah: “ …. Barangsipa yang berhijrah untuk Allah dan RasulNya, maka hijrahnya adalah untuk Allah dan Rasul,..”

Banyak lagi yang boleh didapati dari peristiwa bersejarah ini. Tapi ada satu kisah yang sangat menarik perhatian saya iaitu kisah Ali menggantikan tempat tidur Rasulullah. Sekali pandang mungkina nampak biasa sahaja, tetapi jika difikir secara lebih detail, teserlahlah kehebatan sebenar beliau.

Hijrah adalah satu fasa yang sangat penting dalam Islam kerana ia adalah pusat pemindahan dari fasa dakwah di Mekah kepada fasa daulah. Dari Islam ditindas kepada Islam yang memayungi dan dapat diamalkan sepenuhnya. Lebih penting lagi adalah ia melibatkan survival agama itu sendiri. Kegagalan hijrah mungkin menyebabkan perkara buruk boleh berlaku pada Islam.

Oleh itu, proses hijrah dilaksanakan dengan tahap sirr yang amat tinggi. Diceritakan ketika Rasulullah mendapat arahan untuk berhijrah, baginda pergi ke rumah Abu Bakar pada waktu tengah hari buta, dimana tiada seorang pun yang berbuat sedemikian pada waktu tersebut. Apabila di dalam rumah, baginda berkata “ Keluarkan sesiapa yang ada di sisimu”. Setelah memberitahu rancangannya, baginda keluar melalui pintu belakang sambil menutup kepala.

Kader-kader yang dipilih juga bukan calang-calang orang. Mereka adalah orang yang dipercayai Rasulullah dan telah lama mengikut tarbiyyah baginda seperti Abu Bakar dan Umar. Ali yang baru berumur lebih kurang 20 tahun juga telah dipilih untuk melaksanakan misi yang sangat penting ini.

Beliau bukanlah satu-satunya pemuda yang sama-sama membantu proses hijrah ini. Keterlibatan Abdullah bin Abu Bakar dan Asma’ binti Abu Bakar yang sedang mengandung juga membuktikan bahawa pemudalah yang menjadi tunjang kejayaan hijrah Rasulullah. Ia mungkin gagal tanpa tenaga, keberanian dan kekuatan manyimpan rahsia pemuda-pemudi tadi.

Al-Banna pernah berkata: “ Generasi muda adalah ibarat air mata bagi sesuatu kaum kerana merekalah yang menjadi nadi kehidupan. Kehebatan sesuatu kaum terletak pada kebolehan rahim sesebuah kaum tersebut melahirkan rijal-rijal yang hebat dan boleh berkorban untuk Islam…”

Ayuh, tunggu apa lagi?

Saturday, December 29, 2007

Manusia dan 2 Ilham



Ada berbagai-bagai jenis manusia di dalam dunia ini. Ada yang penyayang, ada yang garang. Ada yang lembut, ada yang keras. Ada yang lurus, ada juga yang suka memutar-mutar. Ada muslim, dan ada musyrik. Ada polis, ada pencuri dan lain-lain. Secara amnya, manusia boleh dikelaskan kepada 2 kelompok : baik atau jahat.

Realitinya sekarang pun boleh dilihat di depan mata kita sendiri. Contohnya jika ditanya remaja sekarang suka berada di tempat-tempat yang bagaimana? Hanya ada 2 jawapan. Jika tidak di pawagam, mereka di surau. Jika tidak di Stadium Melawati, mereka berada di masjid, mendengar ceramah. Jika tidak bermalam bersama arak dan hiburan, mereka bermalam atas tikar sejadah sambil menangis teresak-esak atau sedang menghadiri katibah dengan penuh disiplin. Senang cerita jika tidak di sarang-sarang syaitan, mereka berada di tempat-tempat yang subur dengan Islam.

2 keadaan tersebut merupakan fitrah manusia itu sendiri, dimana Allah telah menciptakan mereka dengan 2 jalan. Firman Allah s.w.t :

“ Bukankah kami telah tunjukkan kepadanya jalan kebaikan dan jalan kejahatan? “ ( Al-Balad: 10)

FirmanNya lagi :

“ Kemudian Kami ilhamkan kepadamu jalan kejahatan dan jalan taqwa” ( Asy-Syams: 8)

Ustaz Syamsu Hilal dalam bukunya, Sirriyah dan Amniyyah dalam dakwah menyebut: “ …setiap manusia mempunyai 2 potensi dalam diri : potensi taqwa dan potensi fujur (jahat). Mereka berdua umpama 2 biji benih dalam badan manusia. Jika benih taqwa disiram dan dibajai, nescaya benih itu akan tumbuh mekar di dada manusia itu dan benih fujur mati kekontangan. Maka jadilah manusia itu orang yang bertaqwa.

Tetapi jika benih fujur yang disiram dan dibajai, maka benih fujur tadi akan hidup subur dan benih taqwa akan mati kekontangan. Maka jadilah manusia itu seorang yang jahat….”

Kesimpulannya jika dia selalu menghabiskan masanya dengan maksiat seperti melepak bersama kawannya hingga larut malam, gemar menghantar mesej dengan kaum bukan sejenis, bergaul rapat dengan remaja-remaja yang rosak, maka tidak lama kemudian dia pasti akan menjadi sebahagian dari mereka.

Malah jika seseorang itu dibiasakan dengan aktiviti-aktiviti yang islamik, bergaul rapat dengan orang yang baik-baik dan soleh, selalu mengahadiri dauroh, usrah, katibah dan sebagainya, maka orang tadi akan membesar dengan sempurna dan akan menjadi manusia yang berpotensi untuk Islam.

Tetapi ingat, syarat yang pertama adalah manusia tadi sendiri yang memilih jalan kebaikan. Dalam sesetengah kes, setelah dibuat berbagai-bagai program tarbawi seperti dauroh, usrah, katibah dan sebagainya, tetapi masih mencarut dan mahu memberontak, bermakna dia telah memilih jalan kejahatan. Apalah gunanya menyiram benih kebaikan, sedangkan benih kejahatan yang dipilih?

Oleh itu, para ikhwah haruslah tumpu pada ke’nak’kan mad’u-mad’u dahulu barulah disusuli dengan program-program tarbawi.

Sekadar berkongsi, Wallahualam.

Wednesday, December 5, 2007

‘Setitis’ Islam yang kita kenal


Bismillah hirrahmaan nirahiim.

Ana pernah bertanya pada seorang pakar perubatan yang telah menghabiskan masa sebanyak 5 tahun di universiti untuk mempelajarinya, ditambah sebanyak 3 tahun untuk pengkhususan. Jumlah semua sekali tempoh yang beliau gunakan untuk mempelajari ilmu perubatan ini ialah 8 tahun, tidak termasuk tempoh beliau belajar Biologi dii sekolah menengah. Kini, beliau mempunyai 20 tahun pengalaman bekerja sebagai doktor.

Ana : Berapa lama yang doktor habiskan untuk belajar dalam bidang ni?

Beliau : Lebih kurang 8 tahun.

Ana : Selepas bekerja bertahun-tahun, rasa-rasanya cukup tak 8 tahun tadi untuk

ketahui semuanya tentang ilmu perubatan ni?

Beliau : Hish, 8 tahun saya rasa macam baru belajar asas. Baru saya nampak betapa

luasnya ilmu dalam perubatan ni. Nak teroka semua, tak larat kot.

Ikhwah sekelian, itu baru perubatan, apatah lagi Islam? 8 tahun semata untuk tumpu belajar perubatan pun, rasa macam baru belajar asas. Kita yang hanya peruntukkan 20-30 minit sehari untuk baca buku-buku fikrah, disamping usrah dan program sekali-sekala, jangan impi untuk mengaku kita sudah mengetahui semuanya tentang Islam.

Teringat nasihat seorang ustaz, “ enta kalau kat sekolah belajar sehari dari pukul 7.00 sampai pukul 2.00, tambah lagi dengan prep dan tusyen, dan belajar sampai tengah malam untuk fahami tentang subjek-subjek pelajaran, macam tulah juga enta kena buat untuk pelajari tentang Islam. Tiada jalan mudah untuk fahami agama ni.”

Fiqh aulawiyaat

Abdul Majid Aziz Az-Zindani dalam bukunya, Kitabut Tauhid menceritakan tentang taraf ilmu agama ini berbanding ilmu-ilmu lain yang ada di dunia, ( tetapi dalam bab ini, beliau khususkan pada ilmu Tauhid, iaitu salah satu cabang dalam Islam)

“ …kemuliaan sesuatu ilmu terletak pada kemuliaan topik perbahasan ilmu yang dibincangkannya. Jika ilmu perubatan dikira lebih mulia dari ilmu pertukangan, ini kerana skop perbahasan ilmu pertukangan ialah bekaitan kayu kayan, sedangkan skop perbahasan ilmu perubatan ialah berkaitan tubuh badan manusia.

Kemulian ilmu Tauhid juga bergantung pada kemuliaan bidang perbahasannya. Kenapa tidak? Adakah perkara lebih mulia daripada Pencipta Alam? Adakah terdapat manusia yang lebih suci dari para Rasul? Adakah ilmu yang lebih penting daripada ilmu mengenali Tuhan dan Pencipta manusia?

Begitu juga, adakah ilmu yang lebih penting daripada mengetahui hikmah kewujudan manusia di muka bumi dan tujuan Allah menciptakannya? Kesemua ini adalah skop perbahasan ilmu Tauhid. Ilmu ini adalah asas bagi ilmu Islam dan ia adalah ilmu yang paling mulia dan yang paling penting berbanding berbagai ilmu ilmu lain secara keseluruhannya.

( Mungkin buku ini sangat sesuai bagi mereka-mereka yang masih dalam dilema untuk memilih bidang apa yang hendak diceburi di universiti nanti, sekadar cadangan)

IQRA!!! (Al-Alaq : 1 )

Oleh itu wahai para daei’diluar sana yang telah merasa cukup dengan ilmu Islam yang ada, sedarlah sesungguhnya antumlah yang semestinya lebih rajin dari junior-junior antum untuk mendalami Islam kerana antum lebih tahu betapa ceteknya ilmu antum tentang agama Allah ini. Benarlah kata-kata orang dulu, “ orang yang paling sedih ialah orang yang paling banyak ilmunya.” Wallahualam.

Sunday, October 14, 2007

Ibroh dari angkasawan pertama negara



Tanggal 10 oktober lalu, tepat pukul pukul 9.21 malam, seluruh rakyat Malaysia sangat berbangga kerana Dr. Syeikh muzaphar telah membuat satu lipatan baru dalam sejarah negara ini kerana dengan jayanya telah berlepas ke ISS iaitu anak watan pertama yang berjaya melakukan sedemikian.

Pemergian beliau juga menjadikan malaysia negara kedua di asia tenggara selepas vietnam yang menghantar rakyatnya ke angkasa lepas.

Ini sebenarnya adalah satu cabaran bagi khilafah yang bakal tertegak nanti untuk menjadi lebih maju dari ini, bahkan lebih maju dari Amerika dan Russia sekalipun.

Khilafah yang kita impikan
Katakan setelah 3/5 dari daulah-daulah di seluruh dunia ini adalah daulah Islam, sehinggakan yang tinggal hanya daulah-daulah musyrik yang agak lemah dan tak berdaya membuat apa-apa, lalu daulah-daulah Islam tadi bergabung dan membentuk Khilafah Islamiyyah yang kuat, maju, kaya dan saksama.

Katakan, ketika itu kitalah yang sedang memimpin dan menjadi kuasa dunia, kitalah yang mencorakkan halatuju bumi ini, apa yang kita idamkan selama ini menjadi kenyataan, hatta la takuuna fitnah, wa yakuuna diinu lillah,semua orang samada muslim ataupun tidak, semua negara, samada negara Islam ataupun tidak, semuanya tunduk pada kita ketika itu,seperti US sekarang.

Ketika itu, semua mata manusia akan melihat gerak-geri kita, semua pengkritik dan pengkaji-pengkaji akan memerhati dan mencatit setiap langkah kita, semua tindakan dan keputusan kita akan dimuatkan dalam akhbar-akhbar utama.

Lalu, hasil dari pendedahan mereka-mereka ini, kesemua umat manusia di bumi ini yang mempunyai akal yang boleh berfikir secara kritis dan kreatif akan membandingkan kejayaan kita dengan kejayaan kuasa dunia sebelumnya.

Ketika musyrikin memimpin dunia, manusia berjaya pergi ke bulan, setiap hari teknologi baru dicipta, banyak kajian saintifik dilakukan. Tetapi ketika Islam memerintah, itu semua tidak berlaku, kalau adapun, ia berlaku dalam kadar yang sangat sedikit. Lalu akan mereka ” Islam penyebab kemunduran”. Nah, bukankah telah berlaku fitnah seperti gereja suatu ketika dulu? ( kemajuan yang dimaksudkan bukanlah kemajuan yang melampui batas wahyu)

Kita tidak akan mampu memujuk mereka dengan hanya bermodalkan keadilan, kesaksamaan, keamanan dan perpaduan bangsa semata-mata, walaupun sebelum ini musyrikin gagal memberikannya. Dari segi Sains dan teknologi, mereka akan tetap perhatikan juga.

Khilafah yang sepatutnya...
Pabila ketuanan berada di tangan kita, sepatutnya lebih banyak kajian-kajian saintifik dilakukan, lebih banyak penemuan baru dijumpai, teknologi lebih canggih tercipta, manusia bukan sahaja menjejakkan kaki ke bulan, malah Uranus dan neptun. Bukankah Islam itu membawa manfaat dan bukan mudharat? Ketika inilah kerajaan Islam tersebut telah menguasai bukan sahaja sains dan teknologi, malah SEGALA BIDANG! Inilah fasa yang ketujuh yang disebut ’ustaziatul-alam’ ataupun kuasa besar dunia, sepertimana yang pernah dicapai ketika zaman Abbassiah dan Uthmaniyah dahulu.

Oleh itu wahai para daie’ di luar sana, ’ustaziatul-alam’ ini sebenarnya adalah kepunyaan kita, umat Islam, telah berjaya dirampas musyrikin kerana umat Islam begitu lemah dan berpecah-belah. Ayuh, rebutlah ia kembali dari mereka. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu tanpa asbab dan musababnya!

Lihatlah angkasawan, dan tercabarlah!
Tatkala melihat Dr. Syeikh Muzaphar, bayangkanlah khilafah Islam bila tertegak nanti. Sesungguhnya perjalanan masih sangat jauh. Masa pun masih sangat panjang. Tapi akan menjadi semakin panjang sekiranya para daie’ hanya duduk dan goyang kaki!

Thursday, October 11, 2007

Selain dari keperluan, yang lain semuanya adalah nafsu!

* Perut anda telah pun kenyang dan tidak berasa lapar setelah makan pelbagai jenis juadah. Badan anda telah pun mendapat keperluannya untuk terus bekerja, beribadah dan melakukan aktiviti lain. Anda kemudiannya ditawarkan 2 biji kuih kerana rakan anda tidak habis makan, padahal anda tidak memerlukannya. Tetapi dalam hati berkata " Ah, beberapa biji kuih je pun..", lalu anda menghabiskannya dan duduk dalam kekenyangan. Beberapa biji kuih tadi adalah hawa nafsu.
* Anda memerlukan 'handphone' yang boleh membuat panggilan dan SMS. Ketika anda pergi ke kedai, terlihat 'handphone' yang berkamera dan dilengkapi MP3 serta videocam. Anda pun membelinya walaupun sedar ia melebihi keperluan. Kelebihan ' handphone' tadi adalah hawa nafsu.
* Anda memerlukan tidur 5 jam sehari. Jika anda sudah tidur 5 jam, anda tidak akan mengantuk. Anda pun tidur dari pukul 12 hingga pukul 5 lalu jam loceng berbunyi. Terdetik di hati " Alahai, malasnya nak bangun. Sambung sikit je lagi. Bukannya ada apa pun..." lalu anda tidur lagi 1 jam. 5 jam tadi adalah keperluan dan hak anda, sedangkan lagi 1 jam adalah hawa nafsu.

Allah s.w.t berfirman: " Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan pada apa-apa yang diingini iaitu wanita, anak, harta yang banyak dari emas dan perak, kuda pilihan, binatang ternak, dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia. Dan di sisi Allah lah sebaik-baik tempat kembali." ( Ali Imraan: 14)

Alaah... nak lebih sikit takkan tak boleh

1 ) Rasulullah s.a.w pernah bersabda : " Dunia itu penjara bagi orang mu'min, dan syurga bagi orang kafir". Nikmat di dunia hanya untuk orang kafir dan mereka ditipu dengannya. Sedangkan nikmat yang agung dan kekal abadi disimpan untuk orang mu'min di akhirat kelak.

2 ) Ikut hawa nafsu akan sesat. " ...Dan siapakah lebih sesat dari orang yang mengikut hawa nafsunya..." (Al-Qasaas : 50 ). Hawa nafsulah yang mengeluarkan Nabi Adam dari syurga. Ini sebenarnya pengajaran yang Allah suruh kita lihat: Ikut hawa nafsu, pasti sesat.

3 ) Rasulullah pernah pergi berehlah ( jalan-jalan) dengan para sahabat. Ketika baginda melalui kawasan sampah sarap yang sangat busuk, baginda bersabda :" Inilah perumpamaan dunia yang kamu kejar"

4 ) Sa'id Hawwa dalam bukunya, Mudzakiraat fi Manazilis Shiddiqein wa Rabbaniyyein menyatakan bahawasanya Ali r.a pernah berkata:" dunia akan pergi meninggalkan kita, sedangkan akhirat akan datang. Dan masing-masing punyai anak. Maka jadilah anak akhirat, kerana sesungguhnya hari ini hari amal, bukan hari hisab. Sedangkan esok adalah hari hisab, bukan hari amal."

Dengan itu kita memahami mengapa Rasulullah dan para tokoh pejuang yang lainnya hidup dalam keaadaan yang sangat sederhana. Tiada langsung unsur berlebih-lebihan. Kerana mereka memahami hakikat dunia yang sebenarnya.

Banyak lagi contoh-contoh dalam hidup kita yang melebihi keperluan seperti pakaian, kata-kata, kasut, dan terlampau banyak lagi yang tak mampu disenaraikan disini. Cukuplah sekadar melihat pada diri sendiri, betapa banyaknya yang melebihi keperluan.
Banyaknya yang melebihi keperluan dalam hidup ini. Kalau begitu, susahlah nak buang!

Memang susah pun. Ingatkah lagi sewaktu selesai Perang Badar Kubra, setelah sahabat bermati-matian berjihad, sesampai sahaja di Madinah, Rasulullah bersabda:" Kita baru pulang dari jihad yang kecil, dan akan menghadapi jihad yang besar". Sahabat bertanya:" jihad apa yang besar itu ya Rasulullah?", baginda menjawab " jihad melawan hawa nafsu."

Imbas kembali betapa susahnya kaum muslimin ketika Badar Kubra, betapa gerunnya 313 tentera menghadapi 1000 musuh, sehingga nampak ketiak baginda ketika berdo'a. Lalu sangat tinggi nilainya kejayaan itu sehingga ahli Badar diampun dosanya sebelum, semasa, dan selepas peristiwa tersebut, bermakna sangat susah untuk mendapat kejayaan itu. Maka bayangkanlah, memerangi hawa nafsu lebih susah dari itu.
Zuhud yang melampau-lampau.

Mengambil hanya yang perlu dan meninggalkan yang lain adalah sifat terpuji. Tetapi terlalu berlebih-lebihan dalam sifat ini sehingga meninggalkan keperluan terus adalah sifat yang tercela dan terkutuk. Contohnya langsung tak tidur, langsung tak makan, langsung tak pakai 'handphone' ( walaupun itu keperluan yang sangat mendesak, bergantung) dengan alasan meninggalkan dunia terus adalah satu perkara yang menyimpang dari maksud sebenar.

Rasulullah pernah menegur sahabat dengan sabdanya:" aku berpuasa dan aku berbuka, aku bangun di tengah malam dan aku juga tidur...."
Juga dalam hadith yang lain;" Pada badanmu ada hak yang perlu kamu tunaikan"
Kerna itu artikel ini ditulis

Ana bukannya apa, bukannya ana ni 'strict' sangat sampai orang nak layan nafsu tidur sikit pun tak boleh, nak makan lebih sikit pun tak boleh, pakai 'handphone' mahal sikit pun tak boleh.

Cuma ana nak sedarkan diri ana sendiri dan para ikhwah, bahawasanya masih terlalu banyak yang kita ambil melebihi keperluan, dan itulah nafsu. Dan lihatlah, sudah akhir Ramadhan pun masih banyak sangat nafsu yang masih membelenggu kita, masih kita gagal mengawalnya lagi. Nafsu tidur, makan, berpakaian dan sebagainya. Padahal Ramadhan sudah hampir tamat!

Satu lagi yang ana ingin sedarkan diri ana ialah, ini baru nafsu skop kecil. Belum lagi yang besar-besar seperti pembelian rumah, kereta, pemilihan zaujah. Kalau perkara macam ini pun kita buat keputusan ikut hawa nafsu, tidak boleh tidak pasti kita akan tergolong dalam ' golongan yang tercicir'. Dan semuanya bermula dari yang kecil. Kalau yang kecil kita dah 'settle', Insyallah yang besar kita boleh kawal. Tapi kalau yang kecil pun kita tak 'settle'?

Ketika Ramadhan, terbahagi 3 golongan:
1) golongan yang sedar hawa nafsu yang melebihi keperluan sejak sebelum Ramadhan lagi, lalu
ia memeranginya ketika Ramadhan
2) golongan yang menyedarinya ketika Ramadhan, lalu memeranginya selepas Ramadhan.
3) golongan yang sebelum, semasa, dan selepas Ramadhan memang Allah tak beri hidayah
untuk sedar bahawasanya dia sedang dibelenggu hawa nafsu (na'uzubillah)

Eidul Fitri dirayakan untuk meraikan kejayaan kita memerangi hawa nafsu. Layakkah kita untuk meraikannya?