Sunday, October 23, 2011

Gejala Riddah, dan ketiadaan Abu Bakar untuk memeranginya.


Artikel ini adalah olahan kepada risalah bertajuk ردة ولا ابا بكر لها tulisan Abu Hassan Ali An-Nadwi.

Sejarah telah merakamkan banyak peristiwa riddah secara besar-besaran yang menimpa umat Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w lagi. Dimulakan dengan Musailamatul Kazzab di Yamamah dan para nabi palsu yang diperangi Abu Bakar, diikuti riddah di negeri Sepanyol yang didalangi pendakyah Kristian ketika akhir zaman Andalus, dan kemudiannya gejala yang menimpa ummat Islam di India yang lemah dan goyah aqidahnya dengan menganut agama Hindu ketika kesultanan Moghul berkuasa.

Jika diperhatikan, kesemua gejala riddah ini mempunyai 2  karakter yang sama, yakni :
1.       Kebencian mendalam orang kafir terhadap Muslimin
2.       Pemisahan kaum muslimin dari cara hidup dan masyarakat Islam

Apakah takrif istilah riddah di sisi syarak? Riddah bererti menukar agama kepada agama yang lain, aqidah dengan aqidah, dan mengingkari apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w

Apakah yang dilakukan oleh orang yang telah murtad? Dia akan pergi ke tempat sembahan agama yang dianuti seperti gereja, sinagog atau kuil, sembahyang cara mereka, berpakaian seperti mereka, membaca kitab mereka dan sebagainya.

Tetapi ini adalah gambaran lama tentang riddah dan  sejak penjajahan Barat terhadap negara-negara Islam, Barat memperkenalkan satu riddah baru yang lebih dahsyat dan tidak pernah dilihat dalam sejarah Islam.

AGAMA SEKULARISME

Falsafah Barat ini diasaskan atas dasar tidak percaya pada Tuhan, Pencipta Alam Semesta yang menentukan dan yang mengwahyukan, mengingkari kewujudan kiamat, balasan dan azab, mengingkari kenabian, syurga dan neraka, mengingkari agama samawi dan semua syariat Allah.

Sesungguhnya ia adalah riddah! Ia memasuki rumah-rumah, university-universiti, persatuan-persatuan, institusi-institusi dan lain-lain, tetapi kaum muslimin tidak berasa terancam dengannya kerana orang yang berfikiran sekular tidak masuk ke gereja mahupun kuil dan mengisytiharkan kemurtadannya. Malah mereka juga tidak memisahkan diri dari masyarakat muslim, bahkan duduk bersama mereka, berpakaian seperti mereka dan hidup bersama mereka.

Inilah masalah terbesar umat Islam, yakni mereka langsung tidak sedar bahawa ia adalah suatu masalah! Maka pemimpin dan para ulama tidak berbuat apa-apa untuk menyelesaikan masalah tersebut. Masalah ini tidak memerlukan perang, revolusi atau kekerasan untuk menghadapinya, ia hanya perlukan azam, kesabaran, hikmah dan penyelidikan.

 RIDDAH LAMA
RIDDAH BARU
1. Isytihar keluar dari agama Islam
1. Tidak isytihar keluar dari agama Islam
2. Mengasingkan diri dari masyarakat muslim dan hidup dalam masyarakat kaffir, mengikut cara hidup agama anutan spt: cara ibadah, berpakaian, dsb
2. Hidup di tengah-tengah dan bersama masyarakat muslim: berpakaian, beribadah sama seperti orang Islam yang lain
3. Disedari para ulama dan pemimpin dan mengambil langkah untuk memeranginya
3. Tidak diketahui orang kebanyakan

AWAL PENYEBARAN

1.       Bagaimana ia boleh tersebar ke negara Islam?
2.       Kenapa ia mampu menyerang muslimin di dalam kubu sendiri?
3.       Bagaimana hemogeni ini mampu mengalahkan hemogeni Islam yang kuat?

Pada awal kurun ke-19, umat Islam sangat lemah dari sudut aqidah, akal dan ilmu. Semangat umat Islam lesu dan nyanyuk. Tiada penguasaan ilmu yang mantap, pemikiran yang tidak sistematik, dan semangat dakwah yang luntur. Juga tiada pembinaan generasi muda yang beriman, terlatih, dan berilmu sedangkan merekalah generasi yang seterusnya. Mereka tidak ditanam dengan penanaman yang khusus seperti Al-Quran itu sebagai rujukan utama, Rasul diutus sebagai qudwah, syariat Islam adalah cara hidup yang sebenar, elemen rohani sebagai tunjang dan material sebagai alat sahaja.

Pada waktu ini, Barat mula menyerang dengan menulis tentang sekularisme dan mewarnakannya dengan warna ilmiah. Barat juga mengimport fahaman ini bersama dalam jajahannya ke atas negara Islam. Kebanyakan muslimin tersihir dan melihatnya sebagai satu kebijakan berfikir dan kebebasan pendapat.

ASOBIYYAH PERKAUMAN YANG SEMPIT

Sesungguhnya Allah dan Rasul sangat melarang perbuatan asobiah perkauman dengan larangan yang jelas. Ia adalah satu perbuatan yang meletakkan ikatan bangsa sebagai ikatan yang paling tinggi, sehingga sanggup berbunuhan untuk mengangkat bangsanya sehingga ia dianggap sebagai agama. Dan terpecahlah ummat ini yang disebut Quran sebagai ‘ummatan wahidah’ mengikut pecahan bangsa masing-masing. Sentimen perkauman ini telah dibangkitkan penjajah Barat ketika mereka menjajah ummat Islam pada kurun ke-19

Pendirian syarak amat jelas dalam isu ini, asobiah kaum bererti kembali seperti zaman jahiliyyah dahulu yang amat memeritkan. Umpama seorang yang baru keluar dari penjara yang penuh dengan azab, cuba melupakan memori tersebut dan tidak sanggup untuk kembali semula.

“Dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu, ketika kamu duhulu ( jahiliyyah ) bermusuhan lalu Allah mempersatukan hati kamu, sehingga dengan kurniaNya kamu bersaudara” ( Ali Imran : 103 )

Sungguhpun begitu, masih ada muslimin yang menyanjung amalan asobiyyah ini bagaikan menyanjung emas. Perbuatan ini telah mengoyakkan iman seseorang itu dan mengundang kemarahan Allah.

MERDEKA DARI AGAMA DAN AKHLAK

Mereka yang mengangkat jahiliyyah ini menjadi lebih teruk lagi dengan hanya memandang dengan pandangan materialistik sahaja. Mereka menganggap dunia yang kekal dan bukan akhirat. Mereka menjadi hamba kepada hawa nafsu dan mengambil mudah larangan Allah.
Mereka menjadi suatu arus dalam sesebuah negara Islam dan mereka adalah kelompok yang tidak terikat langsung dengan syariat Allah.

Sesungguhnya, ini adalah masalah yang paling besar dalam sejarah Islam, dan orang yang menyedarinya terlalu sikit. Jikalau nabi palsu diperangi di zaman Abu Bakar Assiddiq dan ketika fahaman Atheis menyusup masuk melalui falsafah Yunani disedari oleh ulama’ dan diperangi melalui tulisan dan pemikiran, tetapi barah ini terus membesar dan tiada siapa yang menyedarinya.

Sesungguhnya ini bukanlah masalah kurangnya akhlak, atau sikitnya ibadah, atau tinggalkan syariat Allah, mahupun isu taklid ajnabi, tetapi masalahnya lebih besar : antara islam atau kufur, antara iman atau kosong darinya, antara falsafah sekular atau risalah akhir zaman.

JIHAD HARI INI

 Sesungguhnya jihad hari ini, dan ibadah yang paling afdal adalah berhadapan dengan sekularisme dan perangi ia dengan perbagai wasilah, mengembalikan generasi berkualiti yang beriman, perangi prinsip jahiliyyah yang bersarang dalam pemikiran umat ini, dan diisi dengan prinsip Islam, iman dan semangat.
Sekarang ini terdapat keperluan yang mendesak kepada dakwah islamiyyah. Ia tidak cukup sekadar mengajak orang kepada kebaikan, tetapi ia memerlukan mengkajian yang teliti dan mendalam untuk mengetahui cara untuk mengubah monopoli pemikiran Barat dalam umat Islam.

Keperluan mendesak terhadap 2 perkara:
1.    
         1. Keperluan terhadap mereka yang ikhlas dan tajarrud : mereka yang sanggup bekerja untuk Islam dan tidak terpengaruh oleh nafsu. Dan pemikiran mereka bebas 100% daripada pemikiran Barat.
2.        
       2. Keperluan kepada gerakan yang tersusun : untuk mengkoordinisasi projek kebangkitan Islam yakni projek pembinaan generasi baru dan projek membuang falsafah Barat dari pemikiran masyarakat.
       20 Oktober 2011

3.        






Sunday, October 2, 2011

Suratku kepada pemuda umumnya, dan kepada mahasiswa khususnya

Terjemahan ucapan Dr. Muhammad Badie' dalam Muktamar Belia Ikhwan Pertama Selepas Revolusi"Generasi dibina, Ummah dibangun"
24 September 2011, 26 Syawal 1432


Segala puji bagi Allah, dan salawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w, imam dan panglima bagi umat Islam, seterusnya para sahabat r.a

Pemuda yang aku cintai sekelian,

Ketahuilah bahawasanya kamulah benteng dan harapan ummat ini, dan padamu ada akal yang cerdas, padamu terdapat masa depan yang cerah, padamu terkumpul kekuatan yang tersimpan, dan kamulah kunci kebangkitan ummat ini. Ini adalah kemampuan dan takdir kamu, dan inilah tanggungjawab dan amanah kamu di depan Allah, juga amanah kamu kepada ummat dan diri kamu sendiri. Kamulah aset masa depan, di bahumu terpikul seluruh harapan ummah ini.

Dan apabila kami bercakap tentang perkara ini, kami tidak bermaksud untuk berlebihan dalam memuji, tetapi menyebut tentang realiti, bahkan mengiktiraf kebenaran yang ada, kami juga beramal dengan nasihat Rasulullah s.a.w: “aku berwasiat kepada kamu agar berbuat baik dengan pemuda..”. Oleh itu, terdapat beberapa kewajipan yang kamu perlu tunaikan.

Pertama : Kewajipan terhadap diri