Friday, December 18, 2009

Perasaan tahun baru



Bila tibanya satu sambutan, seperti Hari Raya, harijadi dan sebagainya, saya percaya, masing-masing punyai perasaan berbagai-bagai yang unik, mengikut sejarah masing-masing. Contohnya seseorang yang kehilangan ibubapanya kerana accident jalanraya, pasti hanya berteman tisu sahaja pada pagi raya. Namun bagi kebanyakan lainnya, berasa cukup gembira kerana dapat makan lemang, berjumpa sanak saudara, dan dapat duit raya.

Suasana tahun baru pun begitu, masing-masing punyai perasaan masing-masing. Ada yang berazam bersungguh-sungguh dan bertekad memperbaiki diri, ada yang berseronok mengira detik jam di Dataran Merdeka. Ada juga yang tak perasan sudah masuk tahun baru.

Ini pula perasaan saya bila masuk tahun baru, hijrah.

1. Seperti yang anda lihat sekarang, masyarakat Islam di negara kita masih lemah di sudut 'al-wa'yu islami', ataupun kepekaan Islamik. Anda dapat melihat dengan mata anda sendiri betapa endah tak endahnya rakyat Malaysia dengan ketibaan Tahun Baru Hijrah. Tahun Baru Cina ataupun Krismas lebih meriah disambut di TV3 berbanding program Tahun Baru Islam ini, walaupun taukenya seorang bumiputra beragama Islam. Banyak juga contoh lain yang anda pun lebih arif tentangnya. Saya anggap ini adalah satu kayu ukur, betapa kuatnya pengaruh sekularisme bertapak di minda umat Islam di negara kita. Apa lagi, saya pun berasa sedih lah.

2. Pada hari 1 Muharram 1431 tersebut, secara kebetulan saya terdengar IKIM.FM dalam kereta. Waktu itu, D.J. sedang mengalunkan sebuah sajak tentang Rasulullah s.a.w. dengan memujinya, dan menceritakan jerih payahnya. Hati saya amat tersentuh. Sejenak, saya teringat juga bahawa ulang tahun hijrah, bermakana ulang tahun Ar-Rasul kita keluar dari segala kesempitan. Adakah anda masih ingat harga yang Rasulullah perlu bayar untuk hijrah ini? Adakah anda masih ingat bahawa baginda telah diboikot selama 3 tahun sehingga ada yang memakan daun kering sebelum hijrah? Adakah anda ingat bahawa isteri dan pakcik baginda yang tercinta meninggal kerana boikot itu? Kemudian tanpa perlindungan pakciknya, Baginda mengharungi hari-hari yang amat mencabar sebagai seorang Muslim di Mekah?

Objektif hijrah yang utama adalah untuk meyelamatkan aqidah umat Islam pada ketika itu. Bermakna, jika mereka duduk lagi lama di Mekah, samada aqidah ataupun nyawa yang akan hilang dalam diri mereka. Semua kepayahan sebelum hijrah ini ditempuhi Baginda sebelum 1 Muharram. Dapatkah anda bayangkan perasaan baginda bila melihat bukit-bukit di Madinah semasa hijrah? Pastinya sangat gembira dan terharu!

Semua flashbacks diatas membuatkan hati saya bercampur-baur antara gembira dan sedih. Benarlah kata-kata cikgu sejarah saya dulu, "sejarah ni bukan untuk dihafal, tetapi untuk dihayati dan diambil pelajaran".

3. Di sebalik kesedihan-kesedihan itu, ada satu yang membuatkan saya lega. Saban hari, progress kesedaran masyarakat Islam di Malaysia semakin hari bertambah baik. Saya hanya meneka, mungkin situasi 'politik sensasi' di Malaysia menyebabkan ramai setuju bahawa umat Islam di negara ini mesti bersatu. Ramai saya jumpa anak muda, kebanyakannya yang pakai baju ketat-ketat (lelaki) yang tidak suka dengan politik. Kata mereka sebab tak mahu terlibat dengan perpecahan umat Melayu-Islam yang jatuh-menjatuhkan.

Saya jalan-jalan di laman sesawang pun, berjuta-juta blog islamik muncul. Satu petanda yang amat baik. Tapi, kesedaran saja tak cukup. Transformasi kepada amal, itulah yang susah. " Easier said than done", kata orang putih.

Kerja semakin banyak, umur semakin kurang. Heiiii....