Wednesday, August 20, 2008

Meningkatkan stamina dakwah


Amin seorang pelajar kolej tempatan. Suatu hari, beliau baru pulang ke rumah setelah mengikuti mukhayyam mendaki gunung selama 4 hari 3 malam. Habis semua tenaga dan kudratnya digunakan untuk mendaki gunung tersebut. Baki sisa-sisa tenaga beliau hanyalah cukup untuk beliau menunggang motosikal untuk pulang ke rumah, itupun beliau takut-takut kalau terlentok di tengah jalan.

( Jika saya, mahupun para pembaca sendiri mengalami situasi yang sama, biasanya apa yang kita fikirkan hanyalah mahu tidur sepuas-puasnya)

Setelah sampai di perkarangan rumahnya, beliau sangat hairan melihat rumahnya diselubungi asap tebal dan dikerumuni orang ramai. KEBAKARAN! Getus hatinya. Sepantas, beliau teringat segala dokumen penting beliau seperti passport, assingnment semester terakhir beliau dan sejumlah wang kolej, dimana beliau bekerja siang dan malam untuk mendapatkan wang tersebut. Kesemua ini adalah barang yang paling berharga buat beliau ketika ini!


Tanpa menghiraukan amaran orang ramai, tubuh yang sepatutnya terkulai layu itu tiba-tiba mendapat tenaga baru lalu terus menerjah masuk ke dalam rumah yang sedang dijilat api itu. Sampai di pintu bilik beliau yang terkunci, sekali lagi entah dari mana datangnya satu kuasa luar biasa,bagaikan singa kelaparan beliau merempuh masuk dan menyelamatkan kesemua barang berharga tadi. Akhirnya beliau dapat keluar dengan selamat.

Saya pasti, banyak lagi kisah yang serupa dengan kejadian diatas. Ini menunjukkan, kesemua manusia sememangnya mempunyai satu stamina atau kekuatan yang luar biasa tersimpan dalam diri masing-masing. Jika dia berjaya mengeluarkan kekuatan itu, maka dia dapat melakukan beribu-ribu, malah berjuta-juta perkara yang sangat luar biasa.


Tokoh-tokoh yang mendahului kami


Banyak kisah-kisah yang acap kita dengar tentang mereka-mereka yang melakukan perkara yang luar biasa. Contohnya Imam Al-Banna yang hanya tidur 4 jam dalam sehari. Kita juga biasa mendengar seorang ahli Ikhwan yang menghadiri 4 perhimpunan besar Ikhwan di 4 bandar berbeza dalam masa 30 jam sahaja. Dan ramai tokoh bukan Islam yang mengamalkan teori yang sama seperti Mahatma Gandhi, Mao Zedong dan banyak lagi, sehingga berjaya menelurkan kejayaan-kejayaan yang sangat luar biasa.


Bagaimana?! Bagaimana?!

Umum membayangkan, kalaulah kekuatan macam saudara Amin tadi dapat diterjemahkan dalam dakwah dan harakah, nah pasti hebat dan laju jadinya. Bayangkan juga, Mahatma Gandhi seorang sahaja mengeluarkan stamina luar biasa beliau, seluruh negeri India merasai kesannya. Bayangkan kalau 10 orang mengeluarkan staminanya? 100 orang? 1000 orang?

Orang-orang tua gemar bermadah,” jangan jadi biasa je, jadi LUAR BIASA!”. Kalau orang-orang biasa boleh bertaaruf dengan 3 orang sehari, kenapa kita tidak boleh bertaaruf dengan 10 orang sehari? Saya akui, di sini kita sangat kusam dan layu. Baru tidur lambat sikit, dah lewat bangun subuh. Baru diberi kerja banyak sikit, dah langgar dateline yang diberi. Dalam hati pun terlintas, “ manalah agaknya stamina luar biasa aku, bagaimana nak keluarkan ni?”

Bagaimana? Bagaimana dan bagaimana?